Peguam yang mewakili bekas pemimpin DAP, Hew Kuan Yau, Datuk J. Shamesh (kiri) hadir bagi mendengar keputusan permohonan semakan kehakiman anak guamnya terhadap kerajaan berhubung membatalkan pengharaman komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari mengekalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap perintah larangan tiga penerbitan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ (BRI).

Semakan kehakiman telah dimohon oleh pengarang bersama komik berkenaan yang juga bekas anggota DAP, Hew Kuan Yau pada 26 November selepas perintah larangan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin hari ini menolak semakan kehakiman dikemukakan oleh Kuan Yau kerana keputusan yang dibuat oleh KDN berhubung penerbitan komik tersebut.

Kata Noorin, pihaknya membuat keputusan demikian kerana mengambil kira kepentingan masyarakat umum selain keselamatan dan ketenteraman awam tidak diganggu gugat dengan penerbitan komik berkenaan.

“Kerajaan terutamanya KDN berhak membuat keputusan untuk larangan itu seandainya berlaku keadaan yang mampu memudaratkan ketenteraman awam, gugat keselamatan moral, kepentingan awam, kepentingan negara atau kemungkinan untuk mengelirukan pendapat awam.

“Mahkamah mendapati keputusan KDN munasabah mengikut lunas undang-undang dan tidak sepatutnya diganggu. Kes ini tidak ada merit dan tidak ada keperluan untuk semakan kehakiman.

“Oleh yang demikian, mahkamah mengekalkan keputusan kerajaan dalam perintah larangan terhadap penerbitan buku dan mahkamah juga telah menetapkan gantirugi kos sebanyak RM5,000,” katanya hari ini.

Mengikut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 November lalu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (dalam UMNO) Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Kementerian Dalam Negeri, AGC dan kerajaan dinamakan sebagai responden.

Pada 23 Oktober tahun lalu KDN mewartakan Perintah Larangan terhadap tiga penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris ‘Belt & Road Initiative For Win-Winism’ dan versi bahasa Cina melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

Warta Perintah Larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

KDN berkata, penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha dan perjuangan tokoh serta pemimpin negara terdahulu memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

“Kandungan penerbitan ini dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat,” kata KDN.

ARTIKEL BERKAITAN:

KDN haramkan komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”

Komik tersebut menjadi kontroversi selepas salinannya diedarkan ke sekolah sebagai bahan rujukan dengan sekurang-kurangnya 2,000 salinan komik itu telah dirampas.

Komik berkenaan turut mendapat kecaman kumpulan Islam di Malaysia seperti  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sementara itu, peguam yang mewakili Kuan Yau, Datuk J Shemesh ketika ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah itu mendedahkan pihaknya akan berbincang dengan anak guamnya sebelum mengemukakan sebarang rayuan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Selepas komik BRI diharamkan, Hew Kuan Yau letak jawatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast