Hew Kuan Yew

KUALA LUMPUR – Selepas terpalit dalam kontroversi komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” yang diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam, Hew Kuan Yau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC).

Katanya, keputusan yang berkuatkuasa serta merta dan muktamad itu telah disampaikan kepada Pengerusi MCBC, Tan Kok Wai untuk memastikan operasi majlis itu berjalan lancar.

Katanya, sepanjang lapan bulan menjadi CEO MCBC, beliau telah menumpukan sepenuh perhatian untuk mengukuhkan ekonomi dan perdagangan, mempromosikan jalinan hubungan penduduk dan pertukaranbudaya antara Malaysia dan China sejajar dengan Insiatif Jalur & Jalan.

‘Hasrat saya adalah untuk membuka lebih banyak sumber ke arah mewujudkan Malaysia yang moden kerana negara ini telah terjejas akibat kerajaan kleptokrasi sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Yau, beliau telah mengabadikan separuh daripada kehidupannya untuk Malaysia yang lebih baik dan mengetepikan kepentingan diri sendiri.

“Saya telah memenuhi misi saya dalam mempromosikan proses pendemokrasian di Malaysia. Mujur Malaysia baharu mempunyai kehakiman yang bebas dan mempunyai budaya politik yang semakin bersih,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Yau yang sering menerima jolokan sebagai Superman, Malaysia masih jauh untuk mencapai kesaksamaan etnik dan kebebasan sosial.

Yau dilantik CEO MCBC sebuah badan untuk mengalakkan hubungan antara Malaysia dan China pada awal tahun ini.   – MalaysiaGazette

KDN haramkan komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”