KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di 10 daerah di Kelantan dikekalkan memandangan penularan pandemik COVID-19 di negeri itu makin meningkat dan tidak menunjukkan pengurangan.
Selain itu, status lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak dikekalkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, bagi negeri Sabah pula ditukarkan daripada PKP Pemulihan (PKPP) kepada PKPB kerana peningkatan Zon Merah dan pengurangan Zon Hijau semakin berkurang.
Manakala PKP Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di 33 lokaliti di negeri itu, ujarnya.
“Sembilan buah negeri iaitu Perlis, Perak, Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan, Kedah (kecuali PKPB di Kuala Muda) dan Negeri Sembilan (kecuali PKPB di Seremban), dikekalkan kepada PKPP.
“Semua PKP, PKPB dan PKPP bagi setiap negeri akan berkuat kuasa mulai Khamis (29 April) hingga 17 Mei ini, kecuali Sarawak yang bermula hari ini hingga 17 Mei ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Ismail Sabri, walaupun pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan tetapi aktiviti pelancongan antara negeri PKPP melalui konsep gelembung perjalanan menggunakan syarikat serta agen pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dibenarkan. – MalaysiaGazette