KULIM – Seorang pembantu kedai maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan lalu dilanggar sebuah kereta sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Kulim-Baling berhampiran Paya Jemerli, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 7.15 pagi, J. Kanimoli, 29, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Baling.
Kata beliau, sebaik sampai di Paya Jemerli motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta Proton Saga.
“Pemandu lelaki berusia 49 tahun dari arah Kulim itu tidak sempat mengelak mangsa menyebabkan berlaku pelanggaran sebelum kedua-dua mereka bersama kenderaan masing-masing terbabas ke dalam longkang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Azhar, akibat kejadian itu penunggang motosikal tersebut maut di lokasi manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengiku Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Azhar. – MalaysiaGazette