TOKYO – Para ribuan atlet dunia yang akan beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal menjalani ujian saringan Covid-19 setiap hari sepanjang sukan itu berlangsung bermula Julai-Ogos ini.
Jepun selaku tuan rumah penganjuran sukan itu berkata, langkah itu bagi mengawal penularan jangkitan pandemik yang kian mengganas walaupun sudah lebih setahun.
Tuan rumah sedang berdepan cabaran untuk memastikan temasya empat tahun sekali itu membuka tirai tanpa sebarang masalah walaupun situasi Covid-19 di Jepun ketika ini masih tidak menunjukkan perkembangan yang memuaskan.
Keadaan itu mendorong pelaksanaan darurat pergerakan menjelang tiga bulan lagi bagi temasya berprestij terbesar dunia itu membuka tirai.
Kenyataan bersama dari Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) serta kerajaan negara matahari terbit itu telah menetapkan beberapa siri garis panduan berhubung aspek keselamatan yang menjadi kebimbangan negara-negara peserta dan juga komuniti antarabangsa menjelang Ogos ini.
Penganjur menegaskan pihaknya komited memberikan keutamaan tinggi kepada aspek keselamatan dan kesihatan setiap peserta termasuk atlet dan para pegawai serta rakyat Jepun.
Garis panduan lain antaranya diwajibkan para atlet mengambil dua ujian saringan Covid-19 sebelum terbang ke Jepun.
Mereka juga akan diwajibkan mengamalkan penjarakan 1 meter.
Tiada penonton dari luar Jepun dibenarkan masuk dan menonton acara Olimpik di Tokyo kali ini namun keputusan membenarkan penonton tempatan ditangguhkan sehingga Jun ini.
Selasa lalu, Jepun melaporkan 5,000 kes positif Covid-19 dengan 63 kematian. – MalaysiaGazette