Dadah ganja yang dirampas daripada sebuah rumah suspek Taman Sri Manja, Petaling Jaya membabitkan salah seorang suspek merupakan doktor sebuah hospital kerajaan di Selangor semalam.

PETALING JAYA – Seorang doktor merupakan antara enam suspek ditahan polis dalam operasi jenayah dadah yang dilakukan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Manja, di sini.

“Dalam operasi sekitar jam 10 malam itu sepasukan polis Bahagian Jenayah Narkotik dari IPD Petaling Jaya dan IPD Kajang telah menyerbu rumah disyaki diduduki suspek di Taman Sri Manja.

“Hasil serbuan kita berjaya menahan enam suspek dan salah seorang suspek merupakan seorang yang bekerja sebagai doktor perubatan di sebuah hospital kerajaan di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek berusia 26 hingga 30 tahun.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut di dalam rumah, polis menemui dan merampas 11 paket lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran seberat 1.9 kilogram bernilai RM4,900 serta wang RM1,450.

Katanya, Dalam serbuan sama, polis turut merampas empat buah kereta pelbagai jenis iaitu Honda City, Perodua Viva, Myvi, Mitsubishi Triton dan motosikal jenis Yamaha Nuovo LC berjumlah RM135,000.

“Ujian saringan awal ke atas kesemua suspek mendapati lima daripadanya positif ganja dan dan tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.

Kesemua suspek ditahan dan direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (1)(a) akta yang sama, ujarnya.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati,” tambah beliau. -MalaysiaGazette