ACP Mohamad Zainal Abdullah

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu lapan lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden pukul dua individu dengan menggunakan paip getah di Chow Kit, di sini.

Rakaman video kejadian tersebut tular di laman Facebook dan WhatsApp sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mendapati berdurasi selama 54 saat memaparkan dua lelaki dipukul dengan getah paip dan ditendang oleh dua lelaki sambil disaksikan enam individu lain di dalam sebuah bilik yang menyerupai pejabat.

“Isi kandungan video ini didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang wangi untuk menyiasat asal usul video ini.

“Siasatan polis akan menjurus kepada individu-individu yang terlibat di dalam video ini dan mereka akan dikesan dan akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 akta sama.

Berikutan itu beliau menasihati orang ramai agar tidak berkongsi atau menyebarkan video tersebut melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam.

“Polis Dang Wangi meminta mana-mana individu yang terlibat dalam insiden itu supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan kes ini.

“Lokasi kejadian itu di Chow Kit serta suspek terlibat juga telah dikenalpasti polis untuk tindakan lanjut selepas ini,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast