Sumbangan yang diagih-agihkan oleh Pepias kepada golongan yang memerlukan di daerah Gombak.

KUALA LUMPUR – Situasi pandemik yang semakin meruncing telah menjejaskan kehidupan masyarakat kebanyakannya semakin tersepit terutama golongan rentan seperti masyarakat orang asal dan golongan asnaf.

Realiti di Gombak adalah lebih teruk berbanding yang dibayangkan.

Ada yang terpaksa menyara pasangan yang telah kehilangan anggota badan akibat kemalangan dan ada juga keluarga yang terpaksa hidup dalam kediaman yang tidak dijamin keselamatannya.

Bagi membantu dan meringankan beban masyarakat yang memerlukan, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) cawangan Gombak telah menganjurkan program Ihya’ Ramadan (IHRAM) 1442H/2021M.

Program ini merupakan ilustrasi iltizam PEPIAS Gombak sebagai badan bukan kerajaan yang memfokuskan hal-hal kebajikan masyarakat setempat.

Menerusi program Ihya’ Ramadhan ini, Pepias mengendalikan dua projek utama iaitu Projek Bubur Lambuk dan Projek Satu Keluarga Sekampit Beras.

Program-program ini digerakkan oleh 30 orang sukarelawan dengan kerjasama Pejabat Penyelarasan DUN Gombak Setia, Pusat Akar Budi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan sumbangan orang ramai. – MalaysiaGazette