JOHOR BAHRU – Walaupun ramai menjangka kerajaan tidak membenarkan rakyat merentas negeri sempena sambutan hari Raya Aidilfitri namun orang ramai tetap melakukan persediaan menyambutnya termasuk menempah awal baju raya.

Tinjauan MalaysiaGazette di kawasan perniagaan Teluk Belanga Design di sini mendapati, orang ramai tetap  menempah dan membeli baju raya.

Seorang pekerja swasta, Angle Zahrin Jenewin umpamanya menganggap walaupun tidak dapat pulang ke kampung kerana  rentas negeri tidak dibenarkan, pembelian baju raya tetap dilakukan kerana ia satu kemestian buat dirinya.

Pekerja kedai Teluk Belanga Design, Muhammad ‘Umar Muhsin Mohd Saleh melihat tempahan pelanggan disaat-saat akhir di Johor Bahru hari ini.

“Pada saya, ia meraikan kemenangan jadi bagi saya. Baju raya sudah pasti ada, tak kira raya boleh rentas negeri ke tak boleh tapi baju raya is a must early morning memang kena pakai baju raya, memang kena bergaya.

“Pilihan saya memang telok belangal, baju orang Johor,” ujarnya.

Perkara sama turut dikongsi seorang lagi pelanggan iaitu Iskandar Niz yang telah membuat persiapan sejak Mac lalu untuk dirinya dan keluarga.

Menurut beliau, walaupun memasuki tahun kedua beraya dalam norma baharu, persiapan sederhana tetap dilakukan untuk merasai kemeriahan Hari Raya selepas sebulan umat Islam berpuasa.

“Rentas negeri tak rentas negeri raya tetap raya. Saya sama macam tahun dahulu wakaupun kita PKP persediaan tertentu saya tetap lakukan. Cuma secara ala kadar.

“Jangan sebab tidak boleh merentas kita rasa kecewa satu persediaan pun kita tidak lakukan, sekurang-kurangnya dalam kadar berjimat cermat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, bagi pemilik kedai jahit Teluk Belanga Design, Jamil Sukaimi berkata, pada tahun ini  terdapat peningkatan sebanyak 10 peratus tempahan diterima menerusi pelanggan dari negara jiran, Singapura.

Jamil Sukaimi,Pemilik Teluk Belanga Design

Beliau yang telah mengusahakan perniagaan menjahit pakaian hampir 30 tahun berkata, walaupun mengalami kemerosotan, permintaan terhadap baju Melayu Teluk Belanga Johor tetap mendapat permintaan.

“Raya tetap raya walaupun PKP tahun lepas begitu juga, tempahan tahun ini ada tempahan  kalau dibandingkan tahun lepas sebab kita memang total lock down seratus peratus.

“Jadi ada yang kerajaan bagi boleh rentas daerah itu yang membantu sedikit perniagaan kami berjalan, ada ruang orang nak menempah baju.

“Di Singapura kebanyakan pelanggan saya adalah secara online yang mana ukuran ada di sini, jadi kita lebih mudah dan untuk penghantaran kita ada syarikat yang boleh ambil,” katanya.

Jelasnya, Teluk Belanga Design bukan sahaja menerima tempahan daripada orang ramai malah turut menerima permintaan dalam kalangan orang atasan dan artis tanah air.

Katanya, sehingga hari ini Teluk Belanga Johor masih mempunyai peminat dan permintaan tersendiri dikalangan penggemarnya.

“Baju telok belanga ini sangat tradisional kalau  tradisonal betul dia ada berkekek, berpesak, ada kocek tiga lengkap bersamping siap,” katanya.

Menurutnya, rata-rata pe­langgan menghantar kain untuk dibuat baju sebelum bulan Ramadan dan sehingga hari ini tempahan yang di­terima masih tidak putus-putus.-MalaysiaGazette