Panel pakar perubatan merangkumkan siasatan dengan mendakwa berlaku kecuaian pemberian rawatan kepada maradona yang menjadi punca kematiannya pada November lalu di kediamannya.

BUENOS AIRES – Ada berlaku kecuaian dalam rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan ke atas ikon bola sepak Argentina, Diego Maradona sebelum ditemui mati di bilik tidurnya.

Perkara itu disimpulkan oleh panel pakar perubatan yang menyiasat kematiannya.

Pendakwar Raya Argentina sebelum ini meminta bantuan panel pakar perubatan untuk melakukan penyiasatan terhadap kematian mengejut Maradona pada bulan November tahun lalu.

Kematiannya telah mencetuskan pelbagai persoalan mengenai cara penjagaan kesihatan dan rawatan yang disediakan untuk Maradona.

Maradona dilaporkan telah meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya, Buenos Aires, pada usia 60 tahun.

Dia sebelum itu telah menjalani pembedahan pembekuan darah pada otak pada awal bulan November dan juga menerima rawatan pemulihan alkohol.

Maradona telah melalui kehidupan yang tidak normal apabila tercalar dengan pengaruh kokain dan penagihan alkohol melampau.

Beberapa hari selepas kematiannya, pendakwa raya negara itu melancarkan siastan ke atas para doktor dan juga jururawat yang ditugaskan memberikan rawatan termasuk penjagaannya di rumah.

Pada Mac lalu, pendakwa raya berjaya mendapatkan panel yang terdiri daripada 20 pakar perubatan untuk memeriksa punca kematian Maradona bagi menentukan sama ada wujud sebarang kecuaian di sebalik kematian itu.

Hasil penemuan panel berkenaan telah disiarkan oleh media tempatan di Argentina pada Jumaat.

Dalam laporan setebal 70 muka surat itu, panel perubatan menjelaskan bahawa Maradona jatuh sakit secara serius kira-kira 12 jam sebelum meninggal dunia.

Dalam tempoh itu tahap kesihatannya tidak dipantau rapi, dakwa laporan itu.

Akhbar Argentina, Clarin sebagai memetik laporan panel itu mendakwa pasukan perubatan Maradona membiarkan tahap kesihatan legenda itu ditentukan takdir.

Pakar perubatan itu berkata, Maradona berkemungkinan mempunyai peluang untuk hidup sekiranya dia diberi fasiliti rawatan perubatan di hospital dan bukannya di rumah.

Panel berkenaan juga membuat kesimpulan bahawa tindakan terakhir yang diambil pasukan perubatan Maradona adalah melulu dan tidak sempurna.

Doktor perubatan peribadi Maradona, Leopoldo Luque, 39, dan pakar psikiatrik antara pegawai yang disiasat oleh pendakwa raya di Argentina rentetan daripada kematian pemain berkelas dunia itu.

Ekoran laporan penuh panel perubatan itu, barisan pendakwa raya akan membuat keputusan sama ada mahu membawa pendakwaan ke atas pihak-pihak perubatan yang disebut dalam laporan tersebut.

Akhbar Clarin juga mendakwa ‘manslaughter’ atau pembunuhan moral juga antara tuduhan yang sedang dipertimbangkan panel pendakwaraya.

Polis juga pada Disember lalu telah menggeledah rumah doktor peribadi Maradona bagi membantu siasatan kes kematian Maradona.

Tindakan itu menyusul selepas pendakwa raya menerima laporan polis dua anak perempuan Maradona yang mengesyaki berlaku kecuaian pada rawatan bapanya selepas menjalani pembedahan otak.

Dr. Luque sehingga kini belum dituduh di mahkamah dan dia menafikan sebarang salah lakunya dalam memberi rawatan kepada Maradona.- MalaysiaGazette