KUALA LUMPUR – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) dengan kerjasama Talenta Indonesia, Universitas Sumatera Utara (USU), Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) akan menganjurkan Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian pada hari Sabtu ini.
Program yang bermula jam 10 malam hingga 12 tengah malam akan dibuat melalui aplikasi Zoom dan disiarkan secara langsung melalui Facebook Pemuisi Berkarya.
Presidennya, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, tragedi kapal selam KRI Nanggala 402 milik Indonesia yang hilang dan tenggelam di perairan Bali pada Rabu, 21 April 2021 serta mengorbankan seramai 53 anggota kru telah menggemparkan masyarakat bukan sahaja di Indonesia malah di seluruh dunia.
Sebagai pembawa misi suara kemanusiaan sejagat’, Pemuisi turut berdukacita atas kejadian ini lalu menggerakkan acara ini sebagai menzahirkan kesedihan dan simpati melalui bacaan puisi.
Seramai 30 orang peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Korea akan menyertai acara ini.
Peserta dari Malaysia termasuk dua Sasterawan Negara iaitu Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh dan Datuk Dr. Zurinah Hassan serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Tokoh Wartawan Malaysia, Tan Sri Johan Jaaffar.
Manakala Indonesia pula diwakili oleh antara lain Profesor Madya Drs. Siamir Marulafau, Asrizal Nur dan Sastri Bakry, Ketua Sumbar Talenta.
Acara ini akan dirasmikan oleh Penaung Pemuisi Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. – MalaysiaGazette