KUALA LUMPUR – Kali pertama menjadi imam solat sunat tarawih di hotel menjadi pengalaman manis dan terindah Mohd Arif Ab Rahim, apatah lagi beliau sama sekali tidak pernah menyangka diberi tanggungjawab besar itu.
Walaupun berpengalaman menjadi imam solat tarawih sejak usia belasan tahun ketika belajar di pusat tahfiz, bapa kepada dua anak ini tetap teruja walapun rutin hariannya di bulan Ramadan ini tidak sama lagi seperti tahun lalu.
Kata Mohd. Arif, dia perlu berkorban apabila tidak lagi dapat berbuka puasa bersama keluarga tersayang sejak 15 April lalu.
“Ini kali pertama saya menjadi imam solat tarawih di hotel dan pernah di tempat lain seperti surau dan masjid di Kelantan sejak bersekolah tahfiz.
“Perasan sedih ada juga tidak dapat berbuka dengan keluarga namun isteri dan anak-anak faham tugas saya pada bulan Ramadan ini hanya 30 hari sahaja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Hotel The Pearl Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Mohd. Arif menjadi imam solat di hotel tersebut sejak 15 April lalu sehingga akhir Ramadan ini.
Ditanya perbezaan menjadi iman solat tarawih di hotel berbanding masjid atau surau, lelaki kelahiran Kelantan ini mengakui makmum yang hadir bertukar ganti setiap hari.
Jelas beliau, ia berbeza dengan bersolat tarawih di masjid atau surau di mana makmum datang dalam kalangan komuniti yang sama.
“Beza di hotel, makmumnya adalah orang yang datang berbuka puasa dan kalau masjid dan surau dihadiri penduduk setempat dan orang yang sama,” katanya.
Diusik perasaan sama ada sedih bila terdapat malam tertentu yang mana kehadiran makmum amat rendah, Mohd. Arif berkata, perasaan itu tidak pernah wujud dalam dirinya.
Malah tambahnya, beliau lagi bersemangat untuk menunaikan amanah yang diberikan itu.
“Hari yang tidak ramai, perasaan sama saya sama sahaja. Kita dilantik iman tarawih sama ada orang ada atau tidak, tetap kena jalankan tugas yang diamanahkan.
“Solat tarawih janji ada tiga atau empat makmun sudah okey dan tidak perlu sedih,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Arif mengalu-alukan usaha pihak hotel menganjurkan solat tarawih bagi membolehkan tetamu tidak tergesa-gesa keluar mencari surau atau masjid selepas berbuka.
Malah beliau turut menyarankan agar pihak hotel kerap membuat peringatan kepada tetamu bahawa solat tarawih disediakan agar mereka dapat berbuka dengan hati yang selesa.
“Memang sangat perlu ada solat tarawih di mana tetamu tidak payah selepas berbuka tidak tergesa-gesa hendak cari surau lain sedangkan di hotel sedia solat Maghrib, Isyak dan tarawih.
“Namun kalau boleh, perlu membuat pengumuman solat berjemaah itu agar tetamu yang tidak mempunyai hal lain boleh bersolat bersama,” katanya.
Sementara itu, sempena Ramadan ini, The Pearl Kuala Lumpur menjemput semua rakyat Malaysia datang berbuka puasa di Dewan Phoenix di Tingkat 5 bermula 15 April lalu hingga 9 Mei ini.
Bertemakan Sajian Warisan Nusantara, hotel bertaraf empat bintang itu menawarkan kepelbagaian menu istimewa menerusi lebih 100 juadah dan hidangan menarik.
Seperti kebiasaan, pihak hotel turut membawa kumpulan Ghazal sebagai hiburan dan pelengkap kepada hidangan konsep kemelayuan baharu.
Untuk menu iftar tahun ini, The Pearl Kuala Lumpur menyediakan pelbagai pilihan makanan khususnya sajian tradisional dengan lebih 100 menu kepada tetamu.
Bufet Ramadan ini menyediakan pelbagai gerai makanan menarik termasuk kambing golek, sup gear box, makanan laut shell out selain nasi beriani dan sate,” katanya.
Sementara itu, harga bufet Ramadan bermula RM98 bagi dewasa dan RM48 harga kanak-kanak.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan, orang boleh menghubungi talian +60163318420. – MalaysiaGazette