Pengerusi KRT Blok E PPR Lembah Subang 1, Muhamad Azmi Yaacob meronda di sekitar kawasan perumahan ketika di PPR Lembah Subang 1, Petaling jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2021.

PETALING JAYA – Jika tahun-tahun sebelum ini, semua penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang semangat menyambut tibanya Aidilfitri bersama-sama dengan perantauan yang lain, namun tahun ini berbeza sekali.

Meskipun semua penduduk flat berkenaan tidak akan pulang ke kampung halaman masing-masing ekoran larangan rentas negeri yang dikuatkuasakann tetapi kemeriahannya tidak akan dirasai.

Pengerusi Persatuan Penduduk Blok E dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Blok E PPR Lembah Subang 1, Muhamad Azmi Yaacob berkata, sebelum ini penghuni yang tidak pulang ke kampung akan bergotong-royong memasak juadah tradisi iaitu rendang dan ketupatn bersama-sama di ruangan  kawasan rukun tetangga (KRT).

Namun kali ini, ujar beliau, sudah tentu gotong-royong tidak boleh dilakukan dalam suasana meriah ekoran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi.

Walau bagaimanapun, acara itu tetap diadakan tetapi kata Muhammad Azmi jumlah peserta yang terhad.

 

Muhamad Azmi Yaacob

“Sebelum ini kita buat jamuan Hari Raya di dewan, masak-masak pun di tepi dewan oleh kaum wanita kalangan Rukun Tetangga, diselang seli dengan hiburan.

“Cadangan saya memang akan panggil kaum wanita masak-masak pada malam raya iaitu rendang dan ketupat dua masakan asas itu sahaja Tapi kita kena hadkan 15 orang sahajalah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika tinjauan persediaan penduduk PPR Lembah Subang menjelang Aidilfitri, di sini hari ini.

Bagi memastikan kanak-kanak tetap merasai suasana hari raya, Muhammad Azmi bakal menyediakan duit raya untuk walaupun amalan ziarahmenziarah antara satu sama lain tidak dibenarkan.

Salah seorang penduduk Blok E PPR Lembah Subang 1 Nursyamimi Omar, 34, percaya kelainan Aidilfitri tahun ini menyebabkan kebanyakan penghuni tidak bersemangat.

Katanya, sejak penularan pandemik Covid-19, suasana persekitaran flat berkenaan juga berubah kerana ibu bapa tidak lagi berani membiarkan anak-anak bergaul antara satu sama lain kerana bimbang berlaku jangkitan.

Oleh sebab itu jugalah, suasana hari raya kali ini dijangka tidak semeriah seperti dua tahun lalu kerana kanak-kanak sering menjadi penyeri Aidilfitri.

Nursyamimi Omar”Semua orang takut nak bagi anak-anak keluar. Kalau dulu-dulu kanak-kanak datang ke rumah beraya, tapi sekarang ini tidak akan berlaku lagilah, kita pun takut nak lepaskan anak-anak,”  ujarnya.

Lantaran itu, kata beliau,  Aidilfitri tahun ini diraikan secara sederhana, sekali gus dapat berjimat-cermat.

Ini kerana, Nursyamimi bimbang sekiranya PKP akan dilanjutkan dan sudah tentu keluarganya sudah tentu perlu berjimat cermat.

“Persiapan memang sangat sederhana, memang tidak beli banyak lagi-lagi selepas PKP langsung tidak boleh ke mana, jadi persiapan raya memang sangat minimum tahun ini beli apa yang wajib sahaja.

”Baju kurung sendiri beli sepasang, baju raya anak seorang sepasang, kita beli yang biasa-biasa sahaja tidak yang mahal-mahal asalkan bertukar baju raya supaya mereka ceria di pagi raya.

“Tidak ada nak masak macam-macam, PKP kan, lagipun sekarang nak kena jaga duit jangan membazir, PKP kita tidak tahu sampai bila, nak pakai duit, jadi dari semua segi kena berjimat,” menurutnya.

Meskipun begitu, suri rumah ini tetap menjual ketupat palas warisan neneknya pada Aidilfitri ini bagi menjana ekonomi keluarga. – MalaysiaGazette