Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Empat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan hari ini melibatkan  Kuantan, daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta tiga mukim di Pulau Pinang dan dua di Perak.

Pelaksanaan PKP ini bermula Isnin ini, 10 Mei hingga 23 Mei ini susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 7 Mei 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan sebanyak 1,578 kes positif Covid-19 telah direkodkan di daerah Kuantan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti.

“KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan jumlah kes sporadik di daerah ini dengan jumlah kluster aktif yang direkodkan sehingga kini adalah sebanyak 10 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga hari ini, KKM melaporkan terdapat sebanyak 14 kluster aktif ketika ini dengan kadar insiden yang semakin meningkat di beberapa mukim dan daerah.

Daerah itu adalah daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“PKP turut dilaksakan di Mukim 12, Barat Daya, Bandar Butterworth, Seberang Perai Utara dan Mukim 14, Seberang Perai Utara. Pelaksanaan PKP di beberapa daerah dan mukim seperti yang dinyatakan akan berkuat kuasa 10 Mei sehingga 23 Mei.

“Dengan  pelaksanaan PKP di Daerah dan Mukim ini, pergerakan rentas negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan. Begitu juga pergerakan antara tiga mukim yang dilaksanakan PKP turut tidak dibenarkan,” tambah beliau.

Di Perak, dua PKP dilaksanakan di di mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan serta mukim Pengkalan Hulu dan Mukim Belukar Semang, daerah Hulu Perak.

PKP di Mukim Hulu Kinta dilaksanakan ekoran peningkatan kes yang amat ketara di mukim Hulu Kinta apabila untuk minggu 17, sebanyak 176 kes positif direkodkan daripada 1185 saringan dengan kadar positif sebanyak 14.85 peratus.

Mukim Pengkalan Hulu dan Belukar Semang juga dikenakan PKP kerana peningkatan kadar positif yang tinggi.

Dua lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di di Kampung Meripoh dan Kota Bahagia, Muadzam Shah, Rompin, Pahang dan di Genting Highlands.

“PKPD di Kampung Meripoh dibuat apabila 11 orang didapati positif Covid-19 dan PKPD di tujuh kawasan di Genting Highlands ekoran pengesanan 13 kes positif.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Genting View Resort, Apartment Meranti, Windmills Condo, Vista Residence, Apartment Mawar, Midhill Apartment & Apartment Ramin bermula dari 10 Mei sehingga 23 Mei,” kata Ismail lagi.

Dalam pada itu, dua PKPD ditamatkan mulai esok iaitu PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu dan PKPD di dua lokaliti di Tawau, Sabah.

PKPD di Kampung Dambai Inanam ditamatkan setelah melaksanakan 387 ujian saringan dengan 23 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu.

PKPD di Bandar Sri Indah dan Kg. Titingan, Sabah juga tamat esok apabila 1,192 ujian saringan dibuat di Bandar Sri Indah dengan 110 kes positif dikesan daripada kedua-dua lokaliti itu.

Ismail turut berkata, semalam sejumlah 332 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.

Daripada jumlah itu, seramai 331 individu dikenakan kompaun manakala seorang lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah 151 kes gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, 80 kes tidak memakai pelitup muka, 28 kes aktiviti pusat hiburan, 25 kes tiada penjarakan sosial dan 48 lain-lain kes. – MalaysiaGazette