Ramadan bazaar bazaars
The Ramadan bazaar at Greenwood, Gombak, Selangor. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 7 May 2021 Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli juadah berbuka puasa pada hari terakhir bazar ramadan yang beroperasi di Selangor selepas kerajaan tidak membenarkan beroperasi mulai esok berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Greenwood, Gombak, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 07 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini memutuskan semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri tidak dibenarkan beroperasi mulai Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penutupan itu berkuatkuas kepada kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan ingin memaklumkan, semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di kawasan PKP akan ditutup bermula Isnin ini. Bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem HIDE akan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu nyata bertentangan dengan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, dua hari lalu apabila berkata bazar Ramadan di Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi selama lima jam setiap hari, antara jam 3 petang hingga 8 malam.

Sementara bazar Aidilfitri beroperasi antara jam 10 pagi hingga 10 malam dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, disebabkan peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin meruncing, maka kerajaan akan sentiasa meneliti prosedur operasi standard (SOP).

Jelas beliau lagi, sekiranya berlaku pertambahan kes harian, maka kerajaan akan mendapatkan nasihat dan juga penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan.

“Ini kerana, trend kes dalam negara kita semakin membimbangkan ditambah pula dengan penemuan varian baru Covid-19.

”Keadaan ini menyebabkan beberapa negeri telah melaksanakan PKP secara bersasar antaranya Kedah, Selangor, Johor dan terbaru Pulau Pinang dan Pahang susulan
beberapa kawasan di negeri tersebut bertukar menjadi zon merah,” katanya.

Ismail berkata, pelaksaan PKP 3.0 ini dibuat berpandukan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan KKM.

Beliau berkata, sekiranya sistem HIDE mengesan sesuatu lokaliti itu merekodkan penularan kes, maka kerajaan akan membuat penilaian risiko bersama-sama KKM untuk menutup sementara lokaliti tersebut bagi membolehkan PKP dilaksanakan. – MalaysiaGazette