Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 460 individu ditahan hari ini kerana kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 456 individu dikompaun dan empat yang lain direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah 106 kes gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, 80 kes tidak memakai pelitup muka, 79 kes tiada penjarakan fizikal, 50 melakukan aktiviti pusat hiburan, tiga kes rentas negeri/daerah tanpa kebenaran dan lain-lain kes 142,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, dua Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Johor dan Sarawak.

Ia membabitkan Felda Kahang Timur di Kluang, Johor yang bermula pada 12 hingga 25 Mei ini.

“Sehingga 9 Mei 2021, KKM telah melaksanakan 65 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut dan 28 orang daripadanya disahkan positif Covid-19. KKM juga melaporkan berlaku peningkatan jumlah kes dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

“PKPD Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak pula dilaksanakan setelah 62 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut mendapati 17 kes positif direkodkan di kawasan itu,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di daerah Besut pada 7 Mei lalu turut dilanjutkan bermula esok sehingga 20 Mei depan.

Ia ekoran terdapat penularan jangkitan Covid-19 di Mukim Hulu Besut ketika ini.

Selain itu, PKPD di Felda Umas, Kalabakan, Sabah turut dilanjutkan bermula 12 Mei sehingga 25 Mei depan.

PKPD di Felda Umas yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan setelah 122 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan itu.

Lima PKPD ditamatkan bermula esok dan Rabu.

Antaranya adalah PKPD Maahad Tahfiz Al-Azhari (MTAZ), Machang, Kelantan yang melibatkan 137 kes positif, PKPD Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan (61 kes positif), PKPD PPR Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan PPR Bt 8 Jalan Apas, Tawau, Sabah (56 kes positif), PKPD Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis & Tanaki), Kinabatangan, Sabah (37 kes positif), dan PKPD SMK Ulu Balingian, Sibu, Sarawak yang melibatkan 239 kes positif. – MalaysiaGazette