BATU PAHAT – Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang tradisi memasang pelita atau punjut bagi menyambut minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur.
Tinjauan MalaysiaGazette di Mukim 11 Rengit di sini menyaksikan tradisi ‘guyup’ atau penyatuan antara generasi lama dan orang baru masih dikekalkan.
Pelbagai kreativiti dapat dilihat. Ada guna pelita buluh dan ada guna pelita lampu mengikut bentuk tersendiri di setiap jalan masuk ke kampung masing-masing.
Diibaratkan seperti ‘perang’ pelita, sebanyak 29 buah kampung di Rengit terlibat menghias pintu gerbang di kawasan masing-masing dengan susunan pelita menerusi pelbagai reka bentuk mengikut kreativiti masing-masing.
Sementara itu, tinjauan ke Kampung Baru dekat Sri Gading pula menyaksikan penduduk menggunakan kayu terbuang dan sebanyak 2021 pelita bagi menghiasi pintu gerbang laluan masuk utama kampung berkenaan.
Salah seorang penduduknya, Azam Senin, 46, berkata, kali ini mereka membina pintu gerbang berkenaan sebulan sebelum umat islam menyambut Ramadan.
“Masalah utamanya angin cuma kita akan standby dua atau tiga orang di bahagian atas untuk kawal lampu itu,” ujarnya.
Beliau berkata, kedudukan kampung di laluan utama ke pusat bandar Batu Pahat menjadikan pintu gerbang itu menarik perhatian pengguna jalan raya.
Katanya, pembinaan pintu gerbang itu menimbulkan rasa ceria ketika sambutan Aidilfitri dalam norma baharu untuk kali kedua ini.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, selain pertandingan memasang panjut, pihaknya juga menganjurkan pertandingan memasak dodol dan disertai seramai 45 peserta.
“Malam kelmarin saya telah bergerak melihat enam finalis keseluruhannya ada 29 kampung itu kita bagi asasnya kepada mereka RM500 tapi ada juga yang mampu untuk dapat sumbangan lain. Ada dapat RM3, 000, ada RM4,000.
Datuk Mohd Rashid turut memberi sumbangan Aidilfitri kepada penduduk setempat. -MalaysiaGazette