KUALA LUMPUR – DAP sepatutnya cermin parti sendiri apabila mengatakan UMNO perlu menerima hakikat bahawa tiada lagi parti dominan, induk, teras atau ‘abang besar’ dalam sebuah kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Zuraida Kamaruddin sebaliknya berkata, DAP cuba membuktikan ia dominan dalam masyarakat Cina di negara ini.
Ia terbukti selepas 22 bulan mentadbir bersama-sama dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
DAP, tambah Zuraida juga menunjukkan belang sendiri apabila cuba mengukuhkan kedudukannya termasuklah menghentam kerajaan.
“Pengalaman bersama mereka dalam mentadbir kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan lalu telah menampakkan belang sebenar DAP sendiri yang cuba menjadi dominan dalam masyarakat Cina di Malaysia.
”Bermula dari pemilihan kerusi pilihan raya yang bersifat mengikut kaum, DAP kuat menggasak kerajaan dan parti komponen lain untuk mengikut telunjuk mereka khususnya dalam hal ehwal masyarakat dan komuniti Cina.
“Ini terbukti dengan keputusan menyalurkan peruntukan dana khas kepada sebuah kolej persendirian terus daripada Kementerian Kewangan pada waktu itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan.
“Dengan cara ini cuba mengukuh cengkaman terhadap komuniti Cina,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, tindakan DAP sebelum ini telah membuktikan parti itu sememangnya mahu masyarakat Cina di Malaysia berada di bawah telunjuk DAP.
“Ini adalah perkara yang tidak sihat untuk Malaysia,” tambahnya.
Semalam, Pengerusi DAP Johor Liew Cing Tong berkata, politik Malaysia akan stabil apabila UMNO menerima hakikat bahawa tiada lagi parti dominan, induk, teras atau ‘abang besar’.
Chin Tong yang juga Ahli Dewan Negara itu menambah, hakikat itu perlu diterima dan parti Melayu tersebut perlu rela hadir bersama (co-exist) dengan parti-parti lain sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.
Zuraida berkata, negara akan makmur apabila pemimpinnya tidak menyebelahi kepada mana-mana kaum sebaliknya bersifat menyeluruh terhadap seluruh warga tanpa batasan dan pengasingan.
“Tiada lagi ‘abang besar’ yang berhak mendakwa mereka mutlak mewakili kaum tertentu.
Wajah baru politik Malaysia wajar memperlihatkan kaharmonian sebenar, bukan retorika di dalam penulisan atau ucapan. Semua pemimpin adalah pemimpin untuk semua bangsa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette