Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Imbangan akaun semasa Malaysia (CAB) merekodkan lebihan RM12.3 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM18.6 billion pada suku sebelumnya.

Prestasi yang baik dalam Barangan dapat dilihat pada suku ini kerana kebanyakan negara telah mengurangkan sekatan yang berkaitan Covid-19, memberikan ruang untuk kelancaran kegiatan ekonomi dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ketat.

Oleh itu, eksport barangan meningkat kepada RM225.5 bilion berbanding RM217.2 bilion pada suku keempat tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport utama adalah produk berasaskan elektrik & elektronik, getah dan kimia; terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Pada masa yang sama, import barangan melonjak sebanyak RM14.3 bilion kepada RM188.9 bilion berbanding suku sebelumnya.

Peningkatan dalam import barang perantaraan dan modal terutamanya dari China, Singapura dan Japan menyebabkan peningkatan dalam import pada suku ini.

Lebihan akaun semasa pada suku pertama juga didorong oleh defisit yang lebih rendah pada pendapatan primer.

Defisit bersih pendapatan primer mengecil kepada RM5.7 bilion berbanding RM7.2 bilion pada suku keempat tahun 2020 disumbangkan oleh syarikat Malaysia di luar negara
yang memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM17.3 bilion, meningkat 19.1 peratus dari suku sebelumnya.

Kebanyakan sektor ini adalah kewangan, perlombongan dan pembuatan yang terutamanya berlokasi di Singapore, Indonesia dan AS.

Namun demikian, perkhidmatan mencatat defisit yang lebih tinggi sebanyak RM15.0 bilion berbanding suku keempat tahun 2020 disebabkan oleh perjalanan, pPembinaan dan
perkhidmatan perniagaan lain.

Penutupan sempadan yang berterusan berikutan pandemik menyebabkan perjalanan yang merupakan penyumbang utama perkhidmatan, kekal berada dalam trend negatif dengan mencatat defisit bersih RM3.4 bilion.

Selain itu, defisit perkhidmatan yang lebih tinggi disebabkan oleh perkhidmatan perniagaan lain yang mencatatkan defisit sebanyak RM0.8 bilion terutamanya dalam pembayaran untuk perkhidmatan teknikal dan perdagangan diikuti oleh pembinaan dengan defisit sebanyak RM0.7 bilion kerana projek baru.

Eksport perkhidmatan menurun sebanyak 1.9 peratus suku ke suku kepada RM20.3 bilion pada suku pertama 2021 manakala import meningkat 1.4 peratus kepada RM35.2 bilion.

Pada suku pertama 2021, akaun kewangan berubah arah kepada aliran masuk bersih sebanyak RM16.0 bilion daripada aliran keluar bersih RM10.2 bilion pada suku sebelumnya.

Ini disebabkan oleh aliran masuk yang lebih tinggi dalam pelaburan lain sebanyak RM13.9 bilion, terutamanya didorong oleh pinjaman antara-bank dari luar negara.

Sementara itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM9.1 bilion berbanding RM6.8 bilion pada suku sebelumnya.

Aliran masuk FDI terutamanya disalurkan ke sektor pembuatan, kewangan dan perdagangan borong & runcit; khususnya dari Singapore, United Kingdom
dan Netherlands.

Pada masa yang sama, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) juga mencatat aliran keluar yang lebih tinggi sebanyak RM7.8 bilion berbanding RM5.2 bilion pada suku akhir tahun lalu. Kewangan, perlombongan dan pembuatan adalah sektor utama untuk DIA manakala destinasi utama adalah Canada, Indonesia dan Singapura.

Pada khir suku pertama 2021, kedudukan FDI mencatat RM713.4 bilion sementara kedudukan DIA adalah RM539.8 bilion.

Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) mencatatkan kedudukan aset bersih RM106.4 bilion berbanding RM67.5 bilion pada suku lepas.

Manakala rizab antarabangsa berjumlah RM450.8 bilion berbanding RM432.3 bilion pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette