KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tanpa mengira waktu senang dan susah sejak syarikat itu ditubuhkan.

Peluang untuk melakukan amal jariah diteruskan Malik Streams untuk meraih keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.

Malah penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada syarikat itu tidak menghalang pemiliknya, Datuk Abdul Malik Dashtigeer untuk berhabis-habisan ketika Ramadan.

Hampir 4,500 golongan tidak berkemampuan dan tidak bernasib baik di seluruh negara mendapat perhatian Malik Streams dengan pelbagai bentuk bantuan termasuklah sumbangan wang tunai, peralatan dan makanan.

Abdul Malik berkata, walaupun gembira dapat memberi bantuan, beliau berasa hiba, tersentuh serta insaf apabila melihat kesulitan yang dihadapi golongan kurang bernasib baik.

Jelas Abdul Malik, beliau pergi ke setiap lokasi seluruh negara bagi melihat sendiri penderitaan serta keperluan yang boleh dihulur Malik Streams dalam program CSR nya.

“Pastinya kehadiran bulan Ramadan al-Mubarak membawa erti mendalam serta peluang untuk umat Islam melipatgandakan amalan selain mengharap rahmat dan keampunan-Nya.

“Malah antara yang dilakukan adalah amal jariah seperti sedekah dan menjamu orang berbuka puasa perlu dilaksanakan bagi meraih keberkatan Ramadan.

“Itulah yang menjadi dorongan serta panduan kepada pasukan CSR Malik Streams untuk jelajah seluruh negara menyalurkan bantuan serta sumbangan kepada golongan sasar kali,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Abdul Malik, beliau gembira apabila berjaya mencari golongan sasaran yang terdiri daripada warga emas, anak-anak yatim, asnaf serta rumah anak yatim dengan hampir 1,300 telah menerima pelbagai sumbangan daripada pihaknya.

“Anda patut lihat sendiri wajah gembira mereka, susah saya hendak terangkan dengan perkataan sebenarnya, hiba hati bila saya berkesempatan bertemu dengan golongan warga emas tanpa keluarga banyak kekurangan, menangis mereka syukur terima sumbangan kami tidak seberapa itu. Syukur Alhamdulillah.

“Selain itu, kami juga menyumbang kepada warga asing beragama Islam seperti dari India, Bangladesh dan Pakistan,” ujarnya.

Jelas Abdul Malik, beliau menyimpan hasrat untuk menghantar golongan tidak berkemampuan mengerjakan umrah.

Tambahnya, kali terakhir Malik Streams menghantar seramai 111 jemaah dan menyasarkan lebih ramai lagi akan dihantar untuk menunaikan umrah apabila penularan Covid-19 berakhir.

“Allah telah beri saya dan syarikat saya untuk terus melakukan yang terbaik, walaupun sesuatu yang sukar pada masa susah ketika ini ianya bukan satu alasan buat saya. Allah telah berikan saya rezeki untuk terus dikongsikan kepada semua.

“Saya juga harap ramai lagi ahli korporat akan tampil menyumbang dengan cara mereka, hakikatnya kita juga perlu bantu negara untuk melalui fasa paling sukar ini, ini pandemik dan krisis yang luar jangkaan.

“Tidak boleh berharap semuanya daripada kerajaan semata-mata, apa yang kita mampu, kita buat dan serah kepada-Nya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast