Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir 
Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir 

KUALA LUMPUR – Tidak benar menuduh sampin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seakan-akan UMNO.

Menurut Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir parti itu tidak pernah mengangkat sampin seperti yang didakwa veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad sebagai sampin rasmi parti.

Jelasnya, sampin rasmi sayap itu adalah berwarna hitam dan bersulam benang perak yang dipanggil Songket Armada.

“Yang didakwa sebagai sampin Bersatu, itu tidak benar malah parti juga tidak ada baju Melayu berlatarkan warna putih.

“Bersatu tidak pakai baju Melayu putih seperti itu, cuma Pejuang yang pakai baju putih.

“Malah Armada Bersatu pun tidak pakai baju Melayu putih, Bersatu peringkat bahagian semua selaras memakai baju Melayu merah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Contoh sampin yang dipakai ahli Armada.
Contoh sampin yang dipakai ahli Armada.

Awal hari ini, Shahrir memuatnaik gambar yang menunjukkan seorang individu sedang memakai sampin berwarna merah dan hitam seakan-akan sampin Pemuda UMNO.

Yang hanya membezakan sampin itu adalah logo kedua-dua parti.

“Tak tahu nak marah atau nak ketawa. Omputih kata: Imitation is the best form of flattery. Tapi mereka tiru kerana nak kelirukan. Parti Bunga (Bersatu) tiru UMNO sehingga ke sampin Pemuda UMNO,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf berkata, sampin milik Armada pernah dirasmikan oleh bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 ketika persidangan sayap pertama Armada Nasional mengambil tempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Tidak ada kena mengena dengan tiru warna sampin Pemuda UMNO, kami tidak tahu siapa yang buat dan jadi fitnah dan dipopularkan oleh Tan Sri Shahrir Samad, ini sesuatu yang melucukan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kecoh sampin Bersatu seakan-akan sama macam Pemuda UMNO