SHAH ALAM – Seorang suspek utama yang diburu bagi kes bunuh seorang pelajar kolej ditemui mati selepas nekad terjun dari tingkat 26 sebuah kondominium di Damansara Perdana petang semalam.
Mangsa dipercayai nekad membunuh diri semasa dibawa polis ke kondominium yang sama bagi menunjukkan beberapa bukti kes pembunuhan melibatkannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sebelum kejadian itu, suspek berusia 24 tahun itu telah dibawa ke kondominium berkenaan dan diiringi seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis.
Malah dia sempat menunjukkan topi yang digunakannya semasa kejadian bunuh itu malah turut mendakwa terdapat beberapa barangan di balkoni kondominium berkenaan.
“Kedua-dua tangan suspek ketika itu telah digari di hadapan kerana ada kecederaan dan menerima lebih 100 jahitan akibat pergelutan dengan mangsa (pelajar kolej).
“Semasa berada bersama polis dalam rumah (lokasi kejadian bunuh) berkenaan, suspek secara tiba-tiba merentap (melepaskan) tangan anggota sebelum berlari ke arah balkoni sebelum terjun dari balkoni tingkat 26 itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Berikutan kejadian itu, tambah Arjunaidi, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian anggota polis mengawal tahanan.
Pun begitu katanya, memandangkan suspek utama kes itu meninggal dunia, kes berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dan Mahkamah Koroner untuk tindakan susulan.
Sebelum itu, seorang pelajar kolej berusia 24 tahun dilaporkan maut akibat ditikam berkali-kali sebelum mayatnya dicampak melalui balkoni di tingkat 26 sebuah kondominium di Damansara Perdana.
Mangsa merupakan seorang peajar warga tempatan dan mayatnya dijumpai dalam keadaan terbaring di tingkat dua bangunan dalam pembinaan sebelah kondominium itu.
Suspek utama berkenaan kemudian berjaya ditahan di kawasan tempat letak kereta, Bandar Sunway, Subang Jaya sekitar jam lebih kurag 4.25 petang pada Ahad lalu.
Suspek utama itu kemudian direman selama tujuh hari sejak Isnin lalu untuk membantu melengkapkan kertas siasatan kes bunuh pelajar tersebut.-MalaysiaGazette