Pegawai Bomba Kanan II Noor Fazida Tina Mohamad Noor, menunjukkan gambar dia bersama ular selepas sesi temuramah di balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 09 MEI 2021.

RAWANG – Apabila berhadapan dengan haiwan berbisa terutamanya ular sudah tentu kita akan berasa gentar dan memikirkan pelbagai cara untuk menyelamatkan diri.

Ini kerana bukan calang-calang orang mampu berdepan dengan reptilia itu apatah lagi memegang atau cuba menangkapnya.

Namun bagi Pegawai Bomba Kanan II Noor Fazida Tina Mohamad Noor, 40, tugas menangkap ular sudah menjadi sebahagian daripada asam garam sepanjang berkhidmat selama 17 tahun dalam badan beruniform tersebut.

Susuk tubuh wanita itu juga sering dikaitkan dengan berita-berita berkaitan khidmat khas menangkap ular namun tidak ramai yang tahu bahawa Noor Fazida sebenarnya menggalas tugas sebagai Ketua Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang.

Oleh kerana sering ditemu ramah oleh pemberita atas kepakarannya ‘menjinakkan’ haiwan berbisa itu, Noor Fazida sudah tidak kekok berkongsi cerita mengenai segala pengalamannya.

Pegawai Bomba Kanan II Noor Fazida Tina Mohamad Noor, bergambar selepas sesi temuramah di balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 09 MEI 2021.

Menurut anak kelahiran Ulu Kinta, Perak itu, dia sentiasa berpegang kepada kata-kata bahawa tugas hakiki seorang angggota bomba adalah berkhidmat untuk membantu masyarakat.

“Manusia kadang-kadang apabila terlampau dipuji mereka akan lupa diri. Ini merupakan peringatan kepada diri saya juga supaya kembali kepada niat utama iaitu berkhidmat kepada masyarakat, kita hendak membantu orang bukan menunjuk-nunjuk apa kelebihan yang dimiliki.

“Apabila pergi ke operasi memang tak boleh nak kawal apa yang dibuat oleh orang awam seperti mengambil gambar dan tularkan video.

“Banyak video-video saya ketika sedang menangkap ular ‘viral’ di laman sosial jadi dari situ kita boleh baca komen-komen netizen kerana ada yang memuji dan ada juga yang mengeji tapi semua itu saya ambil sebagai kata-kata semangat,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Sekitar tahun 2019, sebuah klip video pendek yang dirakam oleh orang awam tular di laman sosial memaparkan Noor Fazida menangkap seekor ular tedung selar dengan menggunakan tangan sekali gus menjadi bualan warga net yang memuji keberanian anggota bomba wanita itu.

Bercerita lanjut, Noor Fazida berkata, pengalaman pertamanya berdepan dengan reptilia itu adalah pada tahun 2004 ketika mula berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di BBP Seri Muda, Shah Alam.

Pegawai Bomba Kanan II Noor Fazida Tina Mohamad Noor, bergambar selepas sesi temuramah di balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 09 MEI 2021.

Noor Fazida berkata, ketika itu dia menjerit sekuat hati dan terus meluru keluar apabila terlihat seekor ular di celah sofa.

“Masa itu barulah saya terfikir orang panggil bomba untuk membantu masyarakat tetapi kenapa saya menunjukkan seolah-olah bomba ini pula sendiri takut.

“Balik dari operasi, saya muhasabah diri dan bermula dari itu saya cuba untuk beranikan diri walaupun dalam memang hati takut, tapi bila kawan-kawan pun bagi semangat kita rasa perkara itu jadi mudah kerana kita pun menggunakan peralatan untuk menangkap haiwan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dirinya pernah tercedera sepanjang menjalankan tugas, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia amat bersyukur kerana tiada sebarang insiden tidak diingini pernah berlaku.

Menyingkap mengenai pengalamannya pula, Noor Fazida berkata, dia pernah menerima panggilan kecemasan untuk menangkap ular hampir sepanjang empat meter di sebuah rumah di Batu Arang.

Bomba, Fazida Tina menyusun peralatan penyelamat selepas sesi temuramah di balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 09 MEI 2021.

“Pada ketika itu saya sudah mula mendalami ilmu mengenai haiwan berbisa ini jadi agak mustahil untuk seekor ular tedung selar menjalar sehingga ke tingkat atas, bila kita pergi itu memang ada ular di beranda tingkat dua dengan membelit tiang-tiang tangga.

“Kalau kita pergi kes ular ini kita tidak boleh tergopoh, tengok keadaan ular dahulu dan kita pun dalam keadaan tenang barulah hulur penjerut kemudian tangkap dan masukkan ke dalam guni.

“Kalau ikutkan untuk khidmat khas ular ini tiada kursus yang spesifik, jadi kita belajar secara sendiri kemudian tanya dengan orang-orang lama, ada lah petua-petua yang perlu diamalkan seperti tidak boleh provok ular.

“Kalau nampak ular itu macam menghala ke arah kita jangan terus nak provok, kita nak tangkap guna peralatan pun ada caranya. Jangan secara tergopoh-gopoh, jangan kita memberi kesakitan kepada ular itu,” katanya yang mengikut jejak langkah arwah bapanya sebagai seorang anggota bomba.

Menurut Noor Fazida, penubuhan Skuad King Cobra JBPM merupakan titik tolak pembabitannya secara lebih serius untuk lebih mendalami ilmu mengenai reptilia itu.

Jelasnya, skuad itu mula ditubuhkan pada penghujung Disember 2015 selepas dia menerima pelawaan daripada Allahyarham Abu Zarin Hussin yang turut dikenali sebagai ‘Wira Penyelamat’.

“Untuk Skuad King Cobra ini kami tubuhkan pada tahun 2015, pada awalnya saya dihubungi oleh arwah Abu Zarin yang mana kami gelarkan beliau sebagai sifu dalam bidang haiwan berbisa ini. Dia telefon dan ajak saya untuk ikut serta.

“Pada awal penubuhan, kami ada seramai enam orang iaitu dua orang dari setiap negeri iaitu Selangor, Terengganu serta Pahang dan hanya saya seorang sahaja wakil bomba wanita.

“Kami bermula dengan hasilkan modul dengan berkumpul selama tiga hari di Akademi Bomba Wakaf Tapai, Terengganu kemudian menyewa di sebuah rumah rakit di Temerloh, Pahang kerana kawasan sungai itu merupakan lokasi ‘herping’ iaitu istilah untuk menangkap ular.

“Setelah dibentangkan kepada komanden akademi ketika itu dan beliau setuju barulah kursus pertama kami jalankan pada Mac 2016 selama sebulan untuk pelatih di Wakaf Tapai.

“Mula-mula penubuhan skuad itu hanya untuk laksanakan kursus di peringkat anggota dan pegawai di dalam JBPM sahaja tetapi selepas ia berkembang, pada tahun 2018 kami telah dihubungi oleh pihak-pihak luar seperti jabatan kerajaan dan swasta untuk laksanakan kursus berkenaan pengendalian haiwan berbisa ini,” ujarnya.

Fazida Tina bercakap dengan wartawan ketika ditemuramah di balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 09 MEI 2021.

Tambah Noor Fazida, minat yang mendalam terhadap reptilia itu menjadikannya tidak pernah jemu untuk terus mempelajari sifat dan karakter ular.

Katanya lagi, terdapat kira-kira 141 spesies ular di negara ini yang berhabitat sama ada di air atau darat.

“Daripada jumlah tersebut hanya 16 sahaja yang berbisa. Jadi sebab itu jika berlaku kes kecemasan sekurang-kurangnya kita boleh ingat dan nyatakan ciri-ciri atau warna reptilia itu bagi memudahkan tugas anggota bomba atau pihak hospital jika dipatuk,” ujarnya.

Kata Noor Fazida, dia juga memelihara seekor ular jenis ‘ball phython‘ sejak lima tahun lalu di rumahnya, selain turut menyimpan beberapa ekor ular tedung selar di beberapa lokasi berlainan untuk tujuan latihan ketika mengendalikan kursus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast