Pelanggan-pelanggan di sebuah inap desa di Kepala Batas di sini dikompaun kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

SEBERANG PERAI – Seorang pemilik inap desa di Kepala Batas di sini dikompaun RM20,000 kerana gagal mengawal kemasukan pelanggan di dalam premis sehingga berlaku kesesakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemilik berusia 40 tahun itu dikompaun ketika pihaknya menjalankan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan.

Antara pelanggan yang dikompaun di inap desa berkenaan.

“Seramai 10 pelanggan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun turut dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi SOP ini, sekali gus sebanyak 11 kompaun dikeluarkan di lokasi berjumlah RM60,000.

“Tidak mengimbas kod QR MySejahtera serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal antara kesalahan dilakukan pelanggan di inap desa tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada penjarakkan fizikal antara kesalahan dilakukan pelanggan inap desa tersebut.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, dua warga emas antara dikompaun semalam di Sekatan Jalan Raya di Jalan Sungai Nyior, Butterworth atas kesalahan rentas negeri.

“Dua lelaki berusia 61 dan 66 tahun itu dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah dan mereka gagal menunjukkan pengesahan rentas negeri yang sah daripada pihak polis.

“Selain itu, lima lelaki dikompaun kerana melepak tanpa penjarakkan fizikal di kawasan Bagan Ajam di sini.

“Secara keseluruhan sebanyak 18 kompaun membabitkan jumlah RM88,000 dikeluarkan sepanjang operasi pematuhan yang dijalankan semalam kerana melanggar SOP PKP 3.0,” ujar beliau.

Tambah Noorzainy, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP demi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung. – MalaysiaGazette