Pelancong British akan dilarang masuk ke Portugal sehingga 30 Mei ini walaupun tersenarai dalam senarai negara gelembung hijau.

LISBON – Warga Britain yang berharap dapat  melancong ke Portugal apabila sekatan melancong dilonggarkan mungkin terpaksa melupakan hasrat tersebut.

Ini kerana maklumat laman web kerajaan Portugal, semua Menteri Kabinet Britain  bersetuju untuk melanjutkan sekatan ke atas pelancong antarabangsa sehingga 30 Mei ini.

Maklumat itu bercanggah dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang memberitahu, negara Mediterranean itu akan tergolong dalam senarai destinasi hijau apabila larangan untuk melancong ke luar negara ditarik balik 17 Mei ini.

Sekatan ini sekali gus meranapkan impian peminat bola sepak Britain yang tidak sabar meneruskan perjalanan ke ibu kota Porto untuk menyaksikan perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah antara Manchester City dan Chelea.

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung pada 29 Mei ini.

Sebelum ini Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengesahkan 6,000 tiket akan disediakan untuk penyokong setiap pasukan dengan kapasiti penonton yang akan dibenarkan mengambil kira norma Covid-19 di Estadio do Dragao.

Menurut BBC, Menteri Pejabat Kabinet Portugal Mariana Vieira da Silva dalam taklimat ringkas semalam berkata, dia tidak mempunyai maklumat lengkap untuk dikongsi ketika ditanya mengenai sama ada larangan pelancong dari United Kingdom akan dilonggarkan tidak lama lagi.

“Kita sedang bekerja dalam perkara itu dan selepas satu kata putus dicapai nanti, kita akan membuat pengumuman rasmi dan buat masa ini tiada keputusan dicapai dalam mesyuarat Kabinet mengenainya,” kata Mariana.

Menjelang aksi final Liga Juara Eropah, tambah Mariana, beberapa siri peraturan akan dikenakan ke atas penyokong British.

Selain jualan tiket yang terhad, penyokong kedua-dua kelab itu dikehendaki terbang dengan menggunakan pesawat khas yang ditempah untuk ketibaan dan juga pelepasan dengan pesawat sama, pada hari yang sama selepas perlawanan.

Penyokong juga akan melalui zon asing di lapangan terbang dan perlu menjalani ujian negatif Covid-19 sebelum berlepas.

Selain Portugal, majoriti negara hijau masih melaksanakan sekatan ke atas pelancong United Kingdom.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast