Rakyat Malaysia diingatkan tidak melanggar SOP Kesihatan Awam melibatkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan betul. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mencontohi negara yang berjaya melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan mengambil iktibar negara yang gagal dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP).

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, pelaksanaan SOP yang ketat merupakan satu langkah yang terbaik dalam melandaikan penularan wabak ini.

Saban hari, kes baharu Covid-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan hampir 5,000 kes dengan 4,113 kes, 34 kematian dicatatkan dan 482 individu di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 250 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, semalam.

“Saya berpandangan terdapat dua kategori kita boleh pelajari iaitu negara berjaya dan negara tidak berjaya melandaikan jangkita Covid-19.

“Kedua-dua ini amat penting. Contohnya di New Zealand mengadakan satu tindakan yang drastik dan ketat walaupun beberapa kes dicatatkan, mereka telah melakukan perintah berkurung,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr Rohaizat Yon

Dalam pada itu, beliau juga berkata, kegagalan dalam melandaikan jangkitan Covid-19 di India berpunca daripada sikap sambil lewa masyarakat dalam pematuhan SOP sehingga mencetuskan kenaikan secara mendadak.

“Pada penghujung Mei mereka menjangkakan mampu melandaikan keluk penularan berkenaan. Namun, disebabkan sikap ambil ringan terhadap kenyataan itu, masyarakat mula tidak mematuhi SOP.

“Jika kita lihat, mereka menganjurkan banyak perhimpunan di pantai dan majlis keagamaan di Sungai Gangga serta melancarkan lima pilihan raya dalam satu masa.

“Ia sekaligus menjadi faktor peningkatan jangkitan Covid-19 dan situasi ini harus menjadi pengajaran pada kita.” ujarnya.

Justeru, Dr Rohaizat berharap kerajaan perlu mengambil iktibar dan contoh dari negara -negara luar bagaimana untuk mengatasi keluk jangkitan covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi nasihatnya supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sentiasa memakai pelitup muka dan patuh dalam penjarakkan fizikal, pesan beliau. – MalaysiaGazette