KUALA LUMPUR – Bakal penerima vaksin yang berstatus individu dalam siasatan (PUI), kontak rapat pesakit COVID-19 atau individu dalam pengawasan (PUS) tidak dibenarkan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini pihaknya mendapati beberapa individu yang berstatus sedemikian hadir ke PPV, sedangkan mereka sepatutnya berada di rumah.
Menurutnya, pihaknya akan menjadualkan semula vaksinasi bagi mereka yang berstatus sedemikian kerana individu berkenaan berisiko untuk menjangkiti orang lain.
Selain itu, beliau berkata, bagi mereka yang tiada janji temu di MySejahtera juga tidak perlu hadir ke PPV untuk mencuba nasib mendapatkan vaksin kerana ia boleh menimbulkan kesesakan serta menimbulkan kawasan jangkitan COVID-19.
Pada masa sama, Khairy turut menasihatkan mereka yang mempunyai janji temu penerimaan vaksin supaya hadir pada waktu yang ditetapkan atau 15 ke 30 minit awal sahaja bagi mengelakkan kesesakan.
Beliau berkata, sekiranya petugas di PPV mendapati ramai yang tidak hadir pada hari berkenaan, mereka mungkin akan menyuntik vaksin kepada pasangan yang hadir pada hari itu.
“Atas dasar budi bicara PPV tetapi tolong, itu tidak bermakna anda boleh terus pergi (tanpa temu janji), itu sekiranya anda menemani suami atau isteri bukannya terus serbu PPV,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan membuka lagi pendaftaran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca untuk penduduk di Lembah Klang serta beberapa negeri lain dan pengumuman berhubung berkara itu akan dilakukan pada minggu hadapan.
Pada 2 Mei lepas, kerajaan membuka pendaftaran suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela dan terbuka bagi individu yang layak serta berumur 18 tahun dan proses suntikan vaksin itu bermula pada 5 Mei. – MalaysiaGazette