KUALA LUMPUR – Seorang juruteknik hotel dan penghantar surat antara lima lelaki ditahan kerana berlumba motosikal haram ala aksi Superman di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang awal pagi tadi.
Kesemua mereka ditahan dalam Operasi Samseng jalanan yang dilancarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.
Ketuanya, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam operasi pagi sekitar jam 3 pagi itu, kelima-lima lelaki itu menunggang motosikal dengan merempit secara merbahaya di lebuh raya berkenaan.
“Mereka siap melakukan aksi Superman dengan baring sambil menunggang motosikal dengan laju selain melakukan aksi lagak roket, zig zag serta berlumba secara bahaya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, kesemua individu itu berusia lingkungan antara 17 hingga 29 tahun.
Dua daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen lesen memandu sah dan bekerja sebagai penghantar surat, juruteknik hotel, mekanik, penghantar barangan motosikal dan bekerja sendiri.
Kesemua suspek menggunakan motosikal Yamaha jenis Y15ZR dan 135LC dan kenderaan mereka disita dan dibawa bersama suspek ke balai trafik untuk tindakan siasatan lanjut polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette