KUALA LUMPUR – Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah dan mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Pertambahan ini dipercayai dilakukan sebagai persiapan awal susulan peningkatan ketara kes kematian akibat pandemik itu sejak akhir-akhir ini.
Menurut Facebook Kementerian Kesihatan, sebanyak enam kematian lagi direkodkan di hospital itu semalam.
Katanya, lebih 80% kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi dan kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat.
”Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” ujar KKM.
Semalam, KKM berkata, sebanyak 36 kes kematian termasuk seorang bukan warganegara akibat jangkitan Covid-19.
Pertambahan itu menjadikan kematian akibat jangkitan Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,902.
Selangor masih merekodkan kes kematian tertinggi, diikuti P.Pinang (6) dan masing-masing 5 kes di Sarawak dan Kedah.
Kes kematian tertua semalam merupakan mangsa berusia 93 tahun manakala kes kematian termuda berusia 29 tahun.
Kesemua kes mempunyai komorbiditi.
Malah, 25 (69.4%) kes kematian hari ini merupakan warga emas, kata KKM. – MalaysiaGazette