KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hari ini mengeluarkan kenyataan bersama menggesa masyarakat antarabangsa kekal tegas dengan komitmen mereka terhadap ‘penyelesaian dua negara’ ke arah mewujudkan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Ketiga-tiga pemimpin yang mengutuk keras pencabulan dan keganasan berulang kali tentera Israel di Wilayah Palestin yang diduduki turut berkata, mereka sedia menyokong usaha masyarakat antarabangsa dalam mencari penyelesaian aman, adil dan berkekalan di Timur Tengah.

“Kami meminta Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengatur sidang tergempar bagi menangani keganasan melampau dan mencari Penyelesaian Aman Bersama dengan matlamat menamatkan kezaliman yang dilakukan ke atas penduduk Palestin,” kata mereka.

Kenyataan bersama ketiga-tiga pemimpin itu dikeluarkan di sini malam ini berikutan memuncaknya keganasan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki.

Menerusi kenyataan bersama itu, mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai perluasan penempatan haram dan tindakan merampas dan memusnahkan struktur milik Palestin di kawasan Tebing Barat yang diduduki termasuk di sekitar Baitulmaqdis Timur.

Mereka juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan oleh Israel selaku Kuasa Penakluk, menerusi tindakan tidak berperikemanusiaan, dasar menjajah dan aparteid ke atas penduduk Palestin di wilayah yang diduduki.

Ketiga-tiga ketua negara itu mahu tindakan segera dan bertanggungjawab bagi memastikan pihak yang terbabit dipertanggungjawabkan dan menggesa semua pihak supaya berhenti dan menamatkan serangan ke atas orang awam, mengambil langkah meredakan ketegangan serta menjunjung peraturan dan undang-undang antarabangsa.

“Kami menggesa kedua-dua pihak menerima kehadiran sementara pihak antarabangsa di Bandaraya Al-Quds bagi memantau gencatan keganasan di Wilayah Palestin yang diduduki,” kata mereka.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut digesa bertindak segera dan mengambil segala langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan memberi perlindungan terhadap orang awam Palestin di seluruh Wilayah Palestin yang diduduki.

Mereka juga mengulangi solidariti dan komitmen mereka kepada penduduk Palestin termasuk hak untuk membuat keputusan sendiri serta mewujudkan sebuah negara Palestin merdeka dan berdaulat.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

4 Komen

  1. Tetapi penempatan haram sekian lama oleh talibarut pengganas tentera PKM yang ditubuhkan dan dibiayai oleh Tanah Besar China boleh pula disanjung hormat sebagai warganegara tempatan sehingga baka PKM menjadi para penceroboh tanah hutan simpanan tanam durian Musang King di Raub menuntut janji diberi tanah kononnya dah letak senjata.

  2. Syabas Azeris dibantu Turki ambil balik Nagorno-Karabah selepas sekian lama PBB tak boleh diharap. Tengok negara kecil DR ratifikasi ICERD tetapi demi pribumi sila Google: Dominican Republic stripped citizens

  3. Setiap negara2 OIC perlu segera menghantar pasukan tentera masing2 dan juga bekalan senjata2 sebagai langkah pengamanan. Ia juga sebagai usaha meyokong Palestine untuk mempertahankan diri mereka.

    Buat sekian lama inilah bentuk bantuan yang sangat ditunggu2 oleh setiap rakyat Palestine!

  4. Laaa gesa PBB buat sidang tergempar? Lawak ke apa? Ko sendiri tak buat sidang parlimen…haaa

Comments are closed.