Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Seorang pesara wanita kerugian sebanyak RM1.3 juta dari tujuh akaun simpanan banknya selepas tertipu dengan ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kejadian pada 1 April lalu, warga emas berusia 60 tahun itu  berada di rumahnya telah menerima panggilan operator daripada pihak bank yang memaklumkan kad kredit bank yang didaftarkan atas namanya telah membuat pembelian bitcoin di satu laman web.

Mangsa bagaimanapun telah menafikan perkara tersebut dan panggilan itu telah disambung kononnya kepada BNM,  kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

“Seterusnya, mangsa telah memberikan maklumat peribadinya kononnya kepada pihak BNM untuk membuat laporan polis bagi menafikan tentang kad kredit yang telah didaftarkan atas namanya.

“Namun pada keesokan hari April lalu sekitar jam lebih kurang 9.02 pagi, mangsa telah terima salinan laporan polis tersebut melalui WhatsApp dan panggilan telefon itu telah disambungkan kepada pihak polis.

“Mangsa telah diminta oleh suspek untuk memberikan kesemua maklumat akaun banknya bagi tujuan untuk memperbaharui akaunnya daripada disalahgunakan oleh individu lain sebelum mangsa telah terima pesanan ringkas daripada pihak bank berkenaan dengan enam digit kod,’ katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, wanita malang itu kemudian telah memberikan kesemua kod pesanan ringkas yang diterima daripada pihak bank kepada pihak polis yang menghubunginya.

Namun begitu, pada 10 Mei lalu, ketika membuat semakan dengan pihak BNM, mangsa telah dimaklumkan  panggilan yang diterimanya adalah panggilan palsu Macau Scam.

“Mangsa yang cemas dengan maklumat itu segera membuat semakan ke atas akaun bank simpanannya sebelum mendapati wang di dalam akaun banknya telah tiada.

“Mangsa telah memberikan maklumat tujuh akaun banknya kepada sindiket Macau Scam itu sebelum mengalami kerugian sebanyak RM 1,303,710.00.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan tipu helah serta ugutan yang dilakukan oleh sindiket ini,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan segera menghubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan telefon yang mencurigakan untuk membuat pengesahan kerana sindiket ini menyasarkan kepada golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat tentang jenayah siber.-MalaysiaGazette