Drs. Khalil Idham Lim menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas pemilik akaun Facebook Aspan Alias kerana menghina Yang di-Pertuan Agong.

KUALA LUMPUR – Pas Kawasan Kuala Kangsar meminta polis menyiasat posting menghina Yang di-Pertuan Agong oleh pemilik akaun Facebook bernama Aspan Alias.

Yang Dipertuanya, Datuk Drs. Khalil Idham Lim Abdullah berkata, beliau membuat laporan itu di Balai Polis Bagan Serai, Kerian, Perak kira-kira jam 9.30 pagi ini selepas membaca posting jelek daripada individu terbabit.

Menurut beliau, semua kenyataan pemilik akaun itu telah dikongsi di tiga pautan Facebook dan merupakan sesuatu yang tidak patut kerana menghina institusi Raja.

Katanya, kenyataan Aspan Alias itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan itu juga telah membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.

“Ia juga boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta polis membuat siasatan ke atas pemilik akaun berkenaan dan membawanya ke muka pengadilan secepat mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast