SETELAH lebih setahun negara menghadapi pandemik Covid-19 permasalahan masyarakat tidak patuh Prosedur Pematuhan Standard (SOP) dalam aktiviti harian seperti merentas daerah dan negeri, interaksi sosial tanpa penjarakan masih lagi berlaku.
Malah masih ada yang melaksanakan majlis-majlis dan perjumpaan-perjumpaan rasmi,
aktivit ziarah dan pertemuan fizikal lainnya. Ini memberi gambaran tentang tahap kefahaman masyarakat masih rendah berkenaan dengan keperluan menghayati dan mengamalkan kehidupan normal baharu.
Masyarakat perlu berganding bahu menangani pandemik Covid-19 dengan lebih bijaksana. Slogan ‘kita jaga kita’ yang diwar-warkan perlu difahami secara mendalam apa maknanya.
Kita perlu faham dengan jelas supaya dapat menghayati dan mengamalkan apa-apa yang
disarankan. Slogan ‘kita jaga kita’ menghendakki setiap individu tanpa kecuali mengamalkan kepatuhan SOP yang ditetapkan.
Kepentingan masyarakat adalah lebih diutamakan. Kegagalan individu menghayati dan mengamalkan tanggungjawab sepatutnya memberi impak segera iaitu penularan besar-besaran wabak Covid-19 di dalam masyarakat seperti yang sedang dialami oleh negara pada ketika ini.
Proses memahamkan setiap individu dalam masyarakat menjadi keutamaan sekarang ini.
Walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh kerajaan melalui media-media namun
pemahaman dan pematuhan normal baharu kehidupan masih lagi berada pada paras yang rendah.
Ramai lagi yang tidak faham berkenaan dengan bahaya wabak Covid-19 dan apa
tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh mereka supaya negara dapat menanganinya
dengan lebih berkesan.
Justeru itu, pendekatan pendidikan yang menyeluruh perlu dilakukan. Pendidikan yang
dimaksudkan adalah bagaimana setiap individu boleh belajar dan faham keperluan semasa dan dalam masa yang sama bertanggungjawab berkongsi pula kepada orang lain.
Dengan cara ini maka pemahaman tentang keperluan gaya hidup normal baharu lebih dirasai dan menjadi tanggungjawab semua. Setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan secara bersepadu mengikut kapasiti masing-masing.
Kerjasama bersepadu antara kementerian membolehkan proses mendidik segenap lapisan masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif. Proses mendidik golongan pelajar contohnya telah dilakukan melalui sekolah dan institusi pendidikan lainnya.
Melalui amalan pematuhan dan pengajaran secara langsung di bilik darjah (termasuklah secara dalam talian) pelajar-pelajar belajar berkenaan kehidupan normal baharu. Justeru setiap pengajar perlu secara langsung memahami dan mengamalkan sebelum mengajar dan membimbing pelajar untuk turut sama mengamalkan kehidupan baharu.
Perkara sama perlu juga dilakukan kepada ibu-ibu, keluarga dan masyarakat. Melalui
kementerian berkaitan perancangan boleh dilakukan bagaimana mendekati dan mendidik
kumpulan sasaran tersebut berkaitan dengan kepentingan normal baharu.
Kumpulan ibu-ibu, keluarga dan masyarakat merupakan komponen terpenting dalam sesebuah negara. Jika kita mampu mendidik kumpulan ini ia akan memberi kesan secara langsung kepada keseluruhan masyarakat.
Mereka inilah yang mampu ‘mempengaruhi’ individu lain seperti anak-anak dan jiran-jiran
untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab menghayati dan mengamalkan kehidupan normal baharu. Begitu juga dengan kumpulan berisiko lainnya seperti individu-individu yang bergiat dalam sukan, terutamanya yang bergiat dalam sukan sebagai riadah.
Proses mendidik kumpulan individu yang bergiat dalam sukan secara kompetitif mungkin lebih mudah kerana boleh dilakukan melalui persatuan setempat. Namun, kumpulan yang bergiat dalam sukan sebagai suatu aktiviti riadah harian merupakan kumpulan yang terbesar.
Melalui kapasiti yang dimiliki oleh kementerian berkaitan proses mendidik kehidupan normal baharu dapat diintegrasikan ke dalam perancangan aktiviti sukan yang lebih menyeluruh dan melibatkan semua peringkat dan pelbagai tahap. Seperkara yang penting juga adalah peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada segenap ahli masyarakat.
Ketika ini penularan maklumat berkenaan dengan kehidupan normal baharu sangatlah tinggi. Setiap hari kita dipaparkan dengan pelbagai maklumat berupa tulisan dan rakaman video. Namun, kesahihan dan keperluan samada maklumat tersebut adalah munasabah dan penting masih lagi tidak terkawal.
Penyebaran atau penularan maklumat yang salah dan tidak tepat akan menyebabkan berlaku pembauran dengan maklumat yang sahih dan penting. Ini akan menambah kekeliruan, kegusaran dan ketidakpastian di dalam masyarakat.
Justeru melalui kementerian berkaitan mungkin boleh merancang aktiviti perkongsian dan
penularan maklumat yang lebih responsif, bukan sahaja melalui penguatkuasaan undang-
undang tetapi juga mendidik individu supaya lebih bertanggungjawab dengan apa yang ingin dikongsi atau disebarkan.
Mengambil semangat perayaan Hari Guru pada tahun 2021 marilah kita sama-sama
berganding bahu menjadi antara ahli masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan sentiasa bersedia untuk belajar menghayati dan mengamalkan gaya hidup normal baharu mengikut kapasiti kita masing-masing.
Kesan daripada ini kita akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang lebih bertanggungjawab. Kerjasama erat dan saling membantu akan membentuk suatu kekuatan dalam masyarakat untuk menghadapi ancaman penularan Covid-19.
#kita jaga kita#
Prof Madya Dr Zainudin Abu Bakar
Pensyarah Psikologi Pendidikan
Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan