Saarani Mohamad

IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menafikan mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau ‘full lockdown’ akan dilaksanakan di seluruh negeri Perak Jumaat ini.

Beliau berkata hingga hari ini, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan dan masih mengadakan perbincangan lanjut berkenaan hal tersebut.

“Saya tidak pasti (dari) mana datangnya sumber maklumat itu. Yang pastinya, kita memang ada beberapa siri mesyuarat yang dijalankan bagi perbincangan berkaitan PKP namun masih belum mempunyai keputusan muktamad.

“Malahan, pada 3 petang ini, akan ada mesyuarat bagi memperhalusi keperluan untuk menangani kes COVID-19 yang semakin membimbangkan di Perak terutamanya daerah Kinta, Hulu Perak, Larut dan Selama,” katanya dalam sidang media maya dari pejabatnya hari ini.

Mesej tular itu antara lain menyebut, esok Perak akan mengumumkan pelaksanaan PKP lebih ketat yang mula berkuat kuasa pada Jumaat berikutan kebolehjangkitan yang tinggi akibat varian Afrika Selatan.

Perak mencatatkan 160 kes positif COVID-19 dan tiga kes kematian semalam.- BERNAMA