KUANTAN – Kerajaan Negeri bersetuju melanjutkan tempoh pembayaran cukai tanah tahun 2021 ke atas semua pemilik tanah berdaftar di Pahang sehingga 31 Ogos ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebelum ini tempoh akhir bayaran adalah pada 31 Mei ini.
Tambah beliau, melalui pelanjutan tempoh pembayaran itu, denda lewat 10 peratus daripada nilai cukai tanah hanya akan dikenakan bermula 1 September depan.
“Keputusan ini dibuat berasaskan sikap prihatin Kerajaan Negeri kepada masalah yang rakyat hadapi susulan langkah tegas Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke seluruh negara, bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19.
“Menerusi langkah tegas ini telah mengehadkan pada tahap tertentu, pergerakan dan perkhidmatan di seluruh negara sehingga mengakibatkan kerugian kepada pemilik tanah-pemilik tanah berkenaan.
“Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri sangat menghargai usaha dan komitmen pemilik tanah-pemilik tanah untuk tetap menjelaskan cukai tanah mereka dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelanjutan tempoh akhir bayaran cukai tanah itu dapat memberi masa yang cukup dan sewajarnya untuk mereka menunaikan tanggungjawab menjelaskannya, ujarnya. – MalaysiaGazette