Pusat beli belah Sogo tutup berikutan PKP 3.0 selama 3 hari bermula 9 Mei ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MEI 2021.

JUMLAH kes jangkitan yang menghampiri 5,000 sehari amat mengerikan. Kes boleh merebak di kalangan orang ramai tanpa diketahui punca dan asal lokasinya (terma sains kesihatannya sporadic).

Beberapa minggu yang lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, satu Kluster telah di kenal pasti di Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak.

Menurut data yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kluster di Bagan Datuk itu melibatkan ahli keluarga dan masyarakat tempatan yang hadir menguruskan satu kematian. Diberitakan, ahli keluarga dari Kuala Lumpur adalah antara pembawa virus COVID-19 pulang ke Kampung Sungai Sumun di Bagan Datuk.

Akhirnya, setakat 17 Mei lalu, 21 kes baharu telah dikenalpasti dengan 106 orang telah disahkan positif berpunca daripada kluster berkenaan. Demikian kisah virus maut itu merebak dengan cukup cepat melalui aktiviti rentas negeri, sehingga tidak sempat untuk kita memberhentikannya.

Justeru, pandangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ kepada keseluruhan negeri Selangor adalah satu idea berani , tepat dan wajar.

Kesihatan dan keselamatan nyawa tiada galang gantinya walaupun ada banyak
duit.

Kenapa perlunya Selangor untuk PKP penuh?

Kita lihat statistik dari KKM untuk minggu pertama Syawal tahun ini. Pada 13 Mei lalu iaitu Hari Raya Aidilfitri, jumlah kes baharu di Selangor mencecah 1,783 kes. Keesokan harinya, kes baharu di Selangor dicatatkan sebanyak 1,269 kes, manakala pada 15 Mei lalu, Selangor mencatatkan kes baharu sebanyak 1,507 kes.

Pada Syawal keempat dan kelima pula, Selangor terus mencatatkan kes baharu
yang tinggi iaitu 1,275 kes dan 1,650 kes.

Ini menunjukkan kira-kira 30 hingga 40 peratus kes baharu harian di Malaysia
telah berlaku di Selangor.

Keberanian Dr Adham ini mungkin akan menerima cemuhan netizen, namun ia sebenarnya tepat dari segi amalan sains perubatan, proses kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti mana yang pernah dilakukannya pada tahun lalu. Mana hendak didahulukan, keselamatan atau ekonomi ? “Money or Mati ?!”

Tahun lalu, Dr Adham sejurus selepas dilantik menjadi Menteri Kesihatan pada 10 Mac 2020, telah mencadangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menutup sempadan antarabangsa dan kemudian mencadangkan Langkah tepat melaksanakan PKP bermula 18 Mac 2020.

Langkah pencegahan dan kawlaan penyakit berjangkit menerusi PKP ini ternyata telah berjaya menurunkan kadar jangkitan virus maut tersebut sehingga negara kita telah beransur bebas dan sekatan demi sekatan sudah mula dilonggarkan pada waktu itu.

PKP pertama itu berjaya dan berkesan hasil kerjasama semua pihak sama ada KKM, seluruh agens kerajaan, frontliners dan orang perseorangan yang berada dalam negara ini.

Justeru apabila sekali lagi Dr Adham mencadangkan perkara yang sama, ini bermakna beliau sedang berusaha untuk mengajak kita berjuang dengan penuh kesungguhan dan ketabahan.

Kita sudah merasai keberkesanan daripada idea ini, sehingga banyak sektor ekonomi, sosial dan keagamaan dibenarkan. Maka kenapa kita masih teragak-agak untuk mengakuinya atau menyokongnya?

Semoga pihak kerajaan dapat mengambil serius terhadap idea ini agar jangkitan virus maut tersebut dalam dihentikan serta merta. Kerajaan Negeri nampaknya bersependapat dan sedia memberi kerjasama serta belajar dari Dr Adham dan pasukannya di KKM yang telah setahun lebih menguruskan pandemik ini.

Dr Muhammad Kelantani
Bandar Baru Bangi