Notis penutupan surau Kampung Parit Dato On Air Baloi,Pontian.

JOHOR BAHRU – Seramai 136 penduduk Kampung Parit Dato Onn, Ayer Baloi di Pontian diarah menjalani kuarantin di rumah manakala 47 individu telah menjalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Pekan Nanas (KK3) semalam.

Pegawai Kesihatan Kanan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian, Dr. Surinah Asan berkata, Surau Kampung Parit Dato Onn yang menjadi punca berlakunya penularan kes Covid-19 dan  telah diarah tutup selama 10 hari bermula 18 Mei lalu.

“Kes telah dikesan pada 12 Mei dan sehingga semalam, terdapat lima kes melibatkan dua keluarga yang hadir ke surau menunaikan solat tarawih.

“Kes pertama melibatkan adik-beradik manakala kes kedua melibatkan suami isteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Surinah, hasil siasatan yang dijalankan pada hari yang sama, seramai 39 orang jemaah surau dikenal pasti sebagai kontak rapat.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penduduk Kampung Parit Dato Onn mematuhi arahan kawalan dan pencegahan Covid-19, mematuhi porsedur operasi standard (SOP) iaitu memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman, penjarakan fizikal dan elakkan sentuhan fizikal.

“Premis perniagaan yang terdapat di kampung tersebut juga diarah menutup perniagaan mereka mulai 19 hingga 20 Mei ini untuk tujuan menjalankan kerja-kerja mencegah bermulanya atau merebak sesuatu penyakit berjangkit” ujarnya.

Dr. Surinah juga meminta jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di daerah itu juga meningkatkan lagi tahap kawalan masing-masing dengan memastikan semua jemaah mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tidak diingini berlaku.-Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast