LONDON – Chelsea dan Leicester berdepan hukuman denda selepas didakwa oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) gara-gara insinden pergaduhan ketika pertemuan Liga Perdana Inggeris pada Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, pemain-pemain termasuk simpanan dan kakitangan kejurulatihan kedua-dua pasukan terbabit dalam pergaduhan berkenaan selepas Ricardo Pereira mengasari Ben Chilwell dalam masa kecederaan.
Pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger berang dengan kekasaran berkenaan dan situasi bertambah panas susulan tindakan Daniel Amartey menghina panji Chelsea selepas final Piala FA Sabtu lalu.
Dengan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah musim depan menjadi taruhan, keputusan Amartey untuk turun ke padang dan menyertai pergaduhan itu menghangatkan lagi situasi.
Kedua-dua kelab didakwa gagal mengawal pemain dan pegawai masing-masing dan diberikan tempoh sehingga Selasa ini untuk memberi jawapan. – MalaysiaGazette