Vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor Foto HAZROL ZAINAL, 05 MEI 2021.

PUTRAJAYA -Tempahan slot janji temu suntikan vaksin AstraZeneca sebanyak 1,240,000 dos kepada warga emas akan dibuka semula pada esok mulai jam 12 tengahari.

Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) berkata, pemberian suntikan bagi pusingan kedua akan dilakukan pada 7 Jun hingga 27 Julai ini untuk dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) yang ditetapkan di seluruh negara.

“Lapan PPVAZ akan melaksanakan inisiatif itu iaitu Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang, Persada Johor International Convention Center, Johor Bahru, Borneo Convention Center Kuching, Sarawak,Institut Kemahiran Belia Negara Miri, Sarawak, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam (ICC),” kata badan itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut CITF, tempahan vaksin AZ hanya dibuka kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

CITF memaklumkan bahawa ini adalah salah satu langkah untuk memastikan warga emas yang termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi terus dilindungi.

“Mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan di www.vaksincovid.gov.my esok dan pada masa yang sama, CITF mengalakkan orang muda untuk membantu warga emas untuk membuat tempahan ini untuk memudahkan urusan mereka.

“Mereka yang telah mendaftarkan nama di bawah senarai menunggu sewaktu tempahan slot 2 Mei 2021 yang lepas akan dimasukkan secara automatik ke dalam tempahan slot vaksinasi AstraZeneca pusingan ini,’ katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast