Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyeru pelajar atau sesiapa sahaja yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini menyemak terlebih dahulu status akreditasi program yang bakal diikuti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pemastian terbabit penting bagi mengelakkan golongan itu membazir masa dan wang ringgit mengikuti pengajian yang tidak diiktiraf.

Beliau berkata, apabila pelajar menerima sijil selepas tamat pengajian, pasti mereka mengharapkan kelayakan akademik berkenaan mampu membantu untuk mendapatkan pekerjaan selepas bergraduat.

“Bagaimanapun, seelok-eloknya sebelum mengikuti pengajian lagi, mereka perlu pastikan terlebih dulu program yang bakal diikuti mendapat akreditasi daripada MQA.

“Program yang sudah mendapat akreditasi pun boleh disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan status terkininya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu pelajar yang mengikuti program pengajian di IPT di negara ini tanpa akreditasi kerana perkara itu bakal memberi kesan kepada peluang mereka apabila memohon pekerjaan kelak.

Mengulas lanjut, cara memastikan akreditasi sesebuah program cukup mudah menerusi laman sesawang rasmi MQA iaitu www.mqa.gov.my, pelajar atau ibu bapa boleh terus semak di Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) atau melalui aplikasi MyMQR.

Dalam senarai rujukan itu juga, katanya, terdapat semua program akademik yang ditawarkan oleh IPT di Malaysia sekiranya sudah mendapat akreditasi daripada MQA.

Beliau berkata, apabila sesebuah program disenaraikan dalam MQR, anda tidak perlu risau untuk menggunakan sijil kelayakan akademik yang bakal diperoleh di peringkat sijil hinggalah ke kedoktoran bagi tujuan mencari pekerjaan atau membina kerjaya.

“Ini kerana akreditasi MQA bukan sahaja penting di dalam negara, tetapi juga memudahkan kelayakan akademik diiktiraf di luar negara.

“Kini, selain program IPT tidak diiktiraf, ada juga golongan penipu atau ‘scammer’ yang menggunakan program pengajian untuk meraih keuntungan, justeru sebelum jadi mangsa eloklah semak status program yang hendak diikuti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast