TASEK GELUGOR – Rentas negeri dari Kedah ke Pulau Pinang untuk tangkap biawak.
Itu antara alasan empat daripada 17 individu yang ditahan pihak polis atas kesalahan rentas negeri menggunakan laluan tikus di Kampung Selamat di sini hari ini.
Operasi bermula jam 4 petang yang dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di laluan tikus berhampiran sempadan ke Padang Serai, Kedah itu turut membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang dipercayai menggunakan borang rentas negeri yang kesahihannya diragui.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas maklumat awam pihaknya mengadakan operasi mengejut di tiga laluan tikus yang dikenal pasti berhampiran Padang Serai, Kedah.
Jelasnya, hasil pemantauan mendapati rata-rata individu menggunakan alasan tidak munasabah untuk rentas negeri, selain menggunakan laluan tikus bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Seramai 17 individu ditahan dalam operasi ini di mana ada yang rentas dari Pulau Pinang dan ada juga dari Kedah masuk ke sini.
“Masing-masing memberikan alasan rentas negeri untuk membeli barang keperluan dan ada yang mendakwa nasi di Kedah lebih sedap.
“Dalam operasi sama, kita menahan empat lelaki membawa biawak yang baru ditangkap mereka untuk dibawa ke Sungai Petani, Kedah,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Tambah Noorzainy, kesemua individu berkenaan dikompaun RM5,000 setiap seorang atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran yang sah.
Jelas beliau, pihak polis tidak menolak kemungkinan orang ramai menggunakan laluan tikus untuk merentas negeri serta daerah susulan pemeriksaan ketat di semua Sekatan Jalan Raya.
“Operasi sebegini akan dilakukan secara berterusan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakkan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19.
“Selain itu, kita juga akan menambah kekuatan pasukan pemantauan di laluan tikus yang dikenal pasti sekitar daerah SPU,” ujar Noorzainy.
Dalam perkembangan sama, Noorzainy turut menasihatkan semua penduduk di Seberang Perai serta sempadan negeri Pulau Pinang untuk mematuhi SOP yang dikuat kuasakan bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan termasuk kompaun. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan