Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mengakui pelaksanaan Ordinan Darurat langsung tidak membantu menyelesaikan isu Covid-19 yang semakin meruncing kini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, Muhyiddin seharusnya menggalas tanggungjawab sebagai ketua negara dan berani bersemuka dengan media.

“Buka Parlimen dalam mendepani krisis Covid, bukan sekadar hanya tahu “tai chi” kepada orang lain! Be a gentleman, act as a true leader, lead the team!!

“Walaupun hari-hari bermesyuarat dengan penuh lengkap data dan sains tapi masih gagal membuat keputusan yang terbaik demi rakyat dari segi sektor ekonomi dan kesihatan awam.

”Ini tanda kelemahan yang amat ketara yang ada pada PM. Tiada kredibiliti langsung untuk memimpin negara,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, beliau melihat menteri-menteri daripada UMNO yang banyak menggalas tugas untuk menangani penularan Covid-19 berbanding Muhyiddin sendiri.

“Suka atau tidak, realitinya yang buat kerja siang malam untuk selesai masalah Covid-19 majoritinya Menteri-menteri UMNO. Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin. Mereka boleh dianggap frontliner kerajaan darurat PN.

“Kebelakangan ini mereka dikecam tanpa ada belas kasihan oleh majoriti rakyat dan lebih menyedihkan daripada ahli-ahli UMNO sendiri, kita bukan tak boleh balun (kritik) tapi perlu tahu siapa yang perlu dipersalahkan sepenuhnya diatas kegagalan urusan berkaitan Covid-19 ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Proklamasi Darurat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu.

Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Muhyiddin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.

Semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak mahu mengulangi kesilapan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh untuk sesi 3.0 ini, bagi mengelak ekonomi negara lumpuh.

Malah Muhyiddin berkata, jika kerajaan melaksanakan PKP penuh sekali pun, tetapi rakyat tidak mematuhi SOP, ia tidak akan berjaya. – MalaysiaGazette