KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) Malaysia pada Mac 2021 menunjukkan peningkatan ketara dengan pertumbuhan dua digit, 17.3 peratus tahun ke tahun kepada 113.3 mata daripada 96.6 mata pada Mac 2020.
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
Ini merupakan pertumbuhan tahunan tertinggi yang pertama kali direkodkan berikutan penguncupan ekonomi yang signifikan pada Mac 2020 susulan daripada pembendungan penularan wabak.
Prestasi IP ini dipengaruhi terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan, Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Berdasarkan pencapaian bulan ke bulan, IP menunjukkan trend yang selari dengan mencatatkan 1.8 peratus pada Mac 2021 berbanding 1.1 peratus pada bulan
sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.8%) dan Bilangan Unit Kediaman yang
Diluluskan Pembinaan (0.6%).
Pada Mac 2021, IP yang menunjukkan kebolehan dalam menjangkakan hala tuju ekonomi ke hadapan menunjukkan prospek ekonomi yang lebih baik melalui
pergerakan kadar pertumbuhan IP terlicin.
Walaupun ketidakpastian berterusan, prospek ekonomi yang memberangsangkan dijangka dalam tempoh terdekat sejajar dengan isyarat yang meyakinkan oleh prestasi perdagangan barangan Malaysia serta sentimen positif dalam sektor pembuatan, subsektor kenderaan bermotor dan harga komoditi.
Berikutan jangkaan pemulihan ekonomi global, prestasi ekonomi yang lebih baik dilihat di kebanyakan negara pada suku tahun pertama 2021.
China sebagai rakan dagang utama Malaysia mengalami pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negeri Kasar dengan 18.3 peratus untuk tempoh yang sama.
Kandungan laporan tersebut juga menyatakan bahawa Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik kepada 4.1 peratus daripada negatif 2.0 peratus pada Februari 2021.
Berasaskan bulanan, IS meningkat kepada 0.1 peratus disokong oleh peningkatan dalam Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (1.4%), Jumlah Guna Tenaga di sektor Pembuatan (0.5%) dan Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan (0.2%). – MalaysiaGazette