Foto Facebook Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan sebanyak 12 kluster Covid-19 yang berkaitan sambutan Aidilfitri, dikesan setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu membabitkan tujuh negeri, iaitu empat di Sabah, masing-masing dua di Kelantan dan Labuan dan masing-masing satu di Pahang, Pulau Pinang, Sarawak serta Selangor.

Beliau menjelaskan, sehingga kini, sebanyak 2,541 ujian saringan dilakukan dengan 470 orang disahkan positif dalam kluster terbabit.

“Hari ini adalah hari ke-14 Syawal iaitu dua minggu selepas Aidilfitri disambut umat Islam seluruh negara.

“Ia menjangkiti 470 kes dengan 2,541 saringan telah dijalankan.

“Satu kes disahkan meninggal dunia membabitkan Kluster Jalan Tahir Manan di Selangor,” katanya melalui hantaran dalam Facebook di sini hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, dua daripada kes Covid-19 berkenaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan Kluster Simpang Sahari di Labuan.

“Jumlah kes dijangka bertambah dan mungkin membabitkan lebih banyak negeri,” katanya.

Berdasarkan maklumat disertakan dalam hantaran itu, kluster komuniti berkaitan sambutan Aidilfitri dikesan setakat semalam ialah Kluster Jalan Tahir Manan (Selangor).

Selain itu, Kluster Kampung Pangkal Payung serta Kluster Kepulauan Tumpat (Kelantan); Kluster Padang Lalang Dua (Pulau Pinang) dan Kluster Jalan Dara (Pahang).

Seterusnya, Kluster Simpang Sahari dan Kluster Patau-Patau (Labuan); Kluster Melikai, Kluster Deluxe, Kluster Abaka dan Kluster Muhibbah Dua (Sabah); serta Kluster Taman Sourabaya Indah (Sarawak).

Mengikut graf bilangan kluster berkenaan mengikut negeri, Sabah menyumbangkan 33.33 peratus, disusuli Kelantan dan Labuan masing-masing 16.67 peratus.

Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang pula masing-masing menyumbangkan 8.33 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast