KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO kecewa kerana kerajaan masih enggan melaksanakan total lockdown selama 14 hingga 21 hari yang dicadangkan danĀ mendakwa kerajaan lebih dengar pandangan tauke-tauke dan peserta besar industri.
Sedangkan, lebih 50 peratus penyumbang infeksi adalah kilang dan tempat kerja.
Datuk Asyraf Wajdi Dasuki menegaskan dalam situasi semasa lebih baik buat total lockdown seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Jelasnya, jika benarpun kos sehari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 adalah RM2.4 bilion sehari terpaksa ditanggung kerajaan, maka total lockdown selama 21 hari adalah RM50.4 bilion.
”Bukanlah sampai RM500 bilion. RM50.4 bilion hanyalah 3.57% daripada KDNK negara iaitu sekitar RM1.4 trilion,” katanya.
Asyraf berkata, lebih baik rugi sekali daripada berpanjangan hingga ekonomi tak mampu dijana kembali.
Beliau percaya rakyat bersedia untuk susah sekali, bukan berkali-kali.
Menurut Asyaraf, Pemuda UMNO sudah cuba terbaik untuk meyakinkan kerajaan melalui pelbagai cara termasuk menyuarakan terus kepada menteri bahawa total lockdown selama 14-21 hari jalan terbaik memandangkan tempoh inkubasi atau jangka hayat virus Covid-19 adalah 14 hari.
Katanya, kerajaan wajar menyalurkan bantuan khas kepada rakyat untuk mereka hidup selama tempoh lockdown, benarkan pengeluaran i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0, arahkan bank-bank bawah Ordinan Darurat untuk moratorium 2.0 tanpa caj tambahan untuk tiga hingga enam bulan.
”Akhirnya kerajaan lebih mendengar pandangan tauke-tauke dan pemain-pemain besar industri. kononnya akan rugi setengah trilion,” ujarnya. – MalaysiaGazette