KUALA LUMPUR – Tan Sri SA Vigneswaran menyifatkan jawatan Presiden MIC yang dipegangnya cukup mencabar pada ketika ini namun membawa perubahan bukan sesuatu yang mustahil.

Vigneswaran yang baharu sahaja dipilih sekali lagi bagi penggal 2021 sehingga 2024 berikrar perjuangan parti yang berusia lebih 76 tahun itu tidak akan lari daripada matlamat asal.

Menurut beliau, MIC telah mengalami pelbagai fasa sejak sebelum kemerdekaan, menjadi kerajaan untuk tempoh cukup sebelum bergelar pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Jawatan ini adalah satu tanggungjawab besar dan berat untuk saya pikul bagi mengembalikan kegemilangan parti ini, pucuk pimpinan dan akar umbi serta masyarakat India secara keseluruhan, itulah hakikat sebenarnya.

“Saya ambil tampuk ketika itu buat kali pertama, ketika itu kita sudah bergelar pembangkang tetapi MIC tidak pernah berputus asa, pucuk pimpinan yang ada hari ini adalah kumpulan yang tidak ‘lari’ mahupun gentar apabila kerajaan jatuh.

“Sebaliknya mereka yang kekal inilah yang akan membentuk parti ini kembali ke era kegemilangan ini, saya akan pastikan matlamat, asas serta perjuangan asal ini terus menjadi keutamaan selagi saya memegang mandat ini,” katanya sejurus selepas diumum sebagai Presiden MIC.

Tegasnya, perjuangan parti ini bukan perjuangan seorang sebaliknya untuk rakyat kaum keturunan India.

S.A Vigneswaran bercakap pada sidang media selepas Pencalonan Presiden Parti MIC Penggal 2021-2024 di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2021.

”Ini bukan perjuangan saya seorang. Itulah asasnya, itulah juga realitinya dan tanpa semua pucuk pimpinan dan akar umbi pastinya itu mustahil.

“Kita semakin kukuh dalam akar umbi parti. Fokus kita sama seperti tiga tahun lalu, memperkukuhkan akar umbi dan dalaman parti, fahami keperluan mereka terdahulu kerana merekalah yang ‘berperang’ di luar sana untuk rakyat,” katanya yang menyifatkan MIC hari ini lebih kukuh dan lebih relevan terutamanya dalam kalangan rakyat hari ini.

Sambung Vigneswaran lagi, MIC hari ini bukan lagi ‘boneka’ atau pak turut, bahkan tidak akan membiarkan mana-mana pihak melabel sesuatu yang menyebabkan nama baik MIC tercalar.

“Pada satu masa kita memang lakukan kesilapan, kita juga mengikut semuanya dengan membuta tuli sehingga mungkin menyebabkan masyarakat muak, kecewa dan patah hati kerana seperti lari dari perjuangan.

“Asas kita undi kaum keturunan India kembali kepada MIC pada PRU akan datang, tidak seperti PRU ke-13 dan 14 tidak berpihak kepada kita,” ujarnya.

Vigneswaran menambah, MIC masih dalam fasa memperbaiki parti dan mengukuhkan kuasa.

“Ini semua percubaan untuk mengembalikan sokongan masyarakat India ke pangkuan MIC, ini bukan mustahil atau susah kerana perjuangan parti bukan sehari dua sebalik lebih 70 tahun.

“Saya lebih daripada yakin undi masyarakat India akan kembali kepada kita dan saya ulang cakap saya ini bukanlah retorik atau syok sendiri sebaliknya,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast