Orang ramai yang hadir untuk mendapatkan suntikan dos pertama Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Konvensyen IDEAL Shah Alam (IDCC) Seksyen 15, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu yang tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibincangkan.

Perbincangan mengenainya akan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) , kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Bagaimanapun, menurutnya, langkah mengenakan penalti terbabit dan mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 dilihat hanya boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau berkata, ketika ini maklumat perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa vaksin itu diberikan secara percuma melalui pelaksanaan berfasa selain memaklumkan kerajaan melalui JKJAV sudah mempunyai jadual penghantaran vaksin daripada syarikat pengeluar terbabit.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab memperoleh vaksin dan kita ada jadual penghantaran daripada calon vaksin yang kita sudah procure.

“Ia membabitkan vaksin AstraZeneca daripada kemudahan COVAX, Pfizer daripada kemudahan pembekalan di Belgium dan syarikat itu sendiri, serta Sinovax melalui Pharmaniaga secara fill and finish.

“Kita juga sedang menunggu pembekalan vaksin daripada Cansino, Gamaleya dan Sputnik V.

“Kita yakin pemberian vaksin akan lebih rancak apabila mendapat lebih banyak bekalan bermula Jun serta Julai depan seperti diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Adham memaklumkan KKM juga mempertimbangkan penggunaan alat ujian pernafasan yang dikenal pasti sebagai kit pengesanan baharu virus Covid-19.

Beliau memberitahu, pihaknya kini dalam proses menunggu permohonan untuk pembekalan alat ujian berkenaan.

“Setakat ini kita dalam proses untuk menerima permohonan dan kita ada agensi Medical Device Authority (MDA) yang boleh menerima permohonan daripada pembekal untuk menjalankan ujian klinikal bagi menentukan kegunaan di negara ini.

“Alat itu pada masa ini digunakan di Singapura untuk kesan virus menerusi pernafasan dan kaedah ini perlu diteroka untuk diguna pakai di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette