Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi pengalaman melihat sekumpulan pekerja projek menunggu bas pekerja di tepi jalan dalam keadaan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Dalam catatan di blognya, beliau berkata, ketika pulang dari pejabat di Yayasan kepimpinan Perdana, beliau melihat kira-kira 20 bercangkung sederet tanpa penjarakan fizikal, ada yang memakai pelitup muka di bawah dagu malah ada beberapa orang yang tidak memakai pelitup langsung.

“Saya tak fikir mereka sudah disuntik. Tetapi yang jelas ialah mereka tidak ikut SOP. Cara mereka dekat diri antara mereka tetap memudahkan jangkitan.

“Saya percaya di tempat-tempat kerja lain pun cara pekerja abaikan SOP tentu begitu.

“Tidak ternampak tandil atau overseer sesama mereka yang boleh menegur cara SOP mereka,” katanya.

Katanya, SOP memang baik tetapi cara SOP diamal oleh para pekerja dan orang ramai tidak seperti yang dikehendaki terutamanya dalam keadaan jangkitan memang mudah.

Dr Mahathir berkata, sejak tiga hari lalu angka kes baru mencecah lebih daripada 7000 dan besar kemungkinan jumlah akan meningkat lagi.

Katanya, peningkatan jumlah ini membuktikan SOP kurang atau tidak berkesan.

“Tetapi ramai orang yang tidak dijangkiti. Kenapa begitu ramai yang dijangkiti tiap hari tetapi ramai yang tidak dijangkiti atau belum dijangkiti. Mungkin mereka yang mengurus wabak ini tahu,” katanya.

Beliau turut menyentuh tentang SOP di masjid di mana para jemaah menjauhkan diri semasa sembahyang namun selepas selesai masing-masing tidak menjauhkan diri malah semasa keluar masjid ada yang mendekati sesama mereka.

Dr Mahathir berpendapat bahawa pihak polis dan frontliners lain perlu menentukan jarak sosial diamal dengan baik.

“Memandang bahawa virus ini boleh ditiup angin, adalah lebih baik jarak perpisahan sejauh dua meter.

“Semasa bekerja, pekerja tidak mengikut jarak antara mereka. Demikian juga ditempat beli belah,” katanya.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahi Parlimen Langkawi itu di akhir catatannya berkata, ekonomi akan merosot kerana lockdown tetapi lebih baik kemerosotan ekonomi dari kematian.

“Saya tak hendak komen bagaimana darurat berkesan dalam pengawalan wabak Covid-19,” katanya.

Perkembangan terkini menyaksikan sebanyak 7,857 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini – jumlah tertinggi sejak wabak tersebut melanda negara Februari tahun lalu. – MalaysiaGazette