Pihak forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan tengkorak milik seorang wanita di Jalan Makloom di sini pada Selasa lalu.

GEORGE TOWN – Terdapat 13 kesan kecederaan pada tengkorak manusia yang ditemui dalam longkang berhampiran sebuah premis di Jalan Makloom pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, berdasarkan laporan bedah siasat tengkorak itu dipercayai milik wanita berusia antara 40 hingga 60 tahun.

Jelasnya, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam turut membawa kepada penemuan 13 kesan kecederaan pada tengkorak tersebut.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia antara enam hingga 12 bulan lalu dan setakat ini, kita belum boleh mengesahkan ia adalah perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Tengkorak manusia ditemui dalam longkang di Jalan Makloomdi sini.

“Siasatan masih dijalankan dan kita akan mendapatkan senarai orang hilang bagi mengenal lagi identiti mangsa.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga juga boleh tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Jalan Perak di sini hari ini.

Artikel berkaitan: Kelindan lori terkejut jumpa tengkorak dalam longkang

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan, seorang kelindan lori dikejutkan dengan penemuan tengkorak manusia ketika berehat di bahagian luar tempat kerjanya di Jalan Makloom di sini.j

Lelaki berusia 22 tahun itu dikatakan terlihat satu objek seakan-akan tengkorak di dalam longkang bahagian luar premis tersebut pada jam 3.30 petang sebelum memaklumkan pada majikannya.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast