Tengkorak manusia ditemui dalam longkang di Jalan Makloomdi sini.

GEORGE TOWN – Seorang kelindan lori dikejutkan dengan penemuan tengkorak manusia ketika berehat di bahagian luar tempat kerjanya di Jalan Maklom di sini semalam.

Lelaki berusia 22 tahun itu dikatakan terlihat satu objek seakan-akan tengkorak di dalam longkang bahagian luar premis tersebut pada jam 3.30 petang sebelum memaklumkan pada majikannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sepasukan polis dikerahkan ke lokasi sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan tengkorak tersebut.

“Hasil pemeriksaan pihak polis menemui satu objek dipercayai tengkorak di dalam longkang seluas kira-kira 91 sentimeter.

“Pasukan Forensik dan Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang telah hadir ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan sebelum tengkorak itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Soffian, siasatan lanjut berhubung penemuan tengkorak itu sedang dijalankan termasuk menyemak rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” ujar Soffian. – MalaysiaGazette